Berita Hari Ini

PAS Sokong Tun Dr Mahathir

KUANTAN: PAS akan terus dikenali sebagai pembangkang membina dan setia yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menerajui negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata pendirian berteraskan politik Islam itu ialah demi memperjuangkan kestabilan negara, manakala kebajikan rakyat terjamin.

“Walaupun PAS berada di kerusi pembangkang, Pemuda ingin sarankan kepada kepemimpinan supaya kita bawa konsep kewujudan bersama.

“Ia adalah hubungan antara Muslim dan bukan Muslim yang diikat dengan tali kewarganegaraan. Ini misi dan visi PAS.

“Kita satukan rakyat dengan formula Islam, sebab itu ahli PAS jangan malu-malu dan segan-segan nak maafkan seteru politik kita.

“Nabi Muhammad pun menunjukkan keikhlasan memaafkan beberapa individu yang diberi hukuman untuk dibunuh,” katanya ketika sesi ucapan penangguhan sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-65, di sini, hari ini.

Merintis usaha menangani perpecahan dalam kalangan masyarakat, Khairil berkata, PAS wajar mengeluarkan manifesto lebih awal dengan memasukkan pelan untuk memperkenalkan pengajaran bahasa bangsa lain pada peringkat sekolah kebangsaan.

Katanya, pendekatan strategik sedemikian antara lain berupaya memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini, selain mengekang masalah pengangguran dalam kalangan guru.

“Perpaduan nasional adalah kerana bahasa, kita percaya apabila pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil diwajibkan di sekolah kebangsaan, ia mampu membawa perubahan.

“Selain itu, lebih ramai cikgu berupaya diambil bekerja untuk mengajar subjek bahasa ini di sekolah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");