Berita Hari Ini

PDRM Tumpaskan Sindiket Penyeludupan Migran Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpas satu sindiket penyeludupan migran antarabangsa yang menjadikan negara ini sebagai pusat transit sebelum diseludup ke negara ketiga, termasuk Eropah.

Dalam serbuan pada 27 Mei lalu itu, tiga rakyat tempatan bersama lapan migran warga Sri Lanka ditahan di tiga lokasi berasingan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar, Perlis dan sekitar ibu negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata ketika serbuan dilakukan, anggota sindiket didapati sedang menguruskan penyeludupan seorang kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka melalui sempadan Padang Besar, Perlis ke Thailand menggunakan dokumen perjalanan Malaysia.

“Tiga warga Malaysia yang ditahan itu dikenalpasti berperanan sebagai `pemudahcara’ yang dipercayai menguruskan penyeludupan keluar warga Sri Lanka berkenaan menggunakan dokumen perjalanan negara ini melalui pintu sempadan Malaysia -Thailand.

“Hasil siasatan dijalankan mendedahkan sindiket ini turut melindungi dan menyembunyikan migran Sri Lanka di sekitar Kuala Lumpur bagi tujuan menyeludup mereka keluar ke negara ketiga, termasuk ke Eropah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, berdasarkan modus operandi digunakan, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi di negara ini sejak pertengahan tahun lalu dan memiliki rangkaian perhubungan antarabangsa.

“Tiga rakyat tempatan itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala lapan warga Sri Lanka berkenaan ditahan mengikut Akta Imigresen.

“Usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket berkenaan dalam memastikan kegiatan ini dapat dihapuskan,” katanya. – BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");