Berita Hari Ini

Peguam Najib Dakwa Nota Keterangan Ismee Ada Percanggahan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini, memohon untuk meneliti nota keterangan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd Tan Sri Ismee Ismail, yang didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pihak pembelaan perlu meneliti kesemua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan beberapa isu.

Peguam itu berkata, pihaknya juga perlu meneliti sama ada terdapat aspek yang bercanggah bagi tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, kami perlu mendapat arahan daripada anak guam (Najib) dan berunding dengan semua pihak bagi meneliti perkara itu dengan lebih lanjut,” katanya.

Muhammad Shafee kemudian memohon prosiding perbicaraan itu ditangguhkan sehingga esok pagi.

Perkara itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, yang bersetuju dengan cadangan pembelaan untuk meneliti kesemua dokumen bagi menentukan jalan terbaik bagi perbicaraan berkenaan.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan dan disambung pagi esok.

Terdahulu di awal prosiding, Ismee yang juga saksi ke-39 pendakwaan ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh, memberitahu mahkamah bahawa Lembaga Pengarah SRC bertindak mengikut resolusi pemegang saham.

Harvinderjit kemudian mencadangkan kepada Ismee bahawa apa yang dinyatakan saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sama dengan keterangan beliau ketika disoal balas.

Harvinderjit merujuk kepada pernyataan bertulis Ismee yang menyatakan bahawa Lembaga Pengarah SRC akan memberikan kelulusan atas sebarang perkara yang dibawa untuk perbincangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Nik Faisal Ariff Kamil yang bertanggungjawab untuk urusan harian perjalanan operasi syarikat.

Dalam pernyataan saksi itu, Ismee turut menyatakan bahawa Lembaga Pengarah SRC akan turut bertindak di bawah nasihat Perdana Menteri (Najib) selaku Penasihat Emeritus SRC.

Harvinderjit sehubungan itu berkata, keterangan Ismee tidak sama dengan apa yang dinyatakan pada sesi soal balas iaitu Lembaga Pengarah bertindak berdasarkan resolusi pemegang saham.

Menjawab cadangan itu, Ismee berkata beliau ada (menyatakan perkara terbabit kepada SPRM.

Harvinderjit: Apa yang kamu beritahu SPRM, Lembaga Pengarah bertindak atas nasihat Perdana Menteri tidak sama dengan keterangan hari ini?

Saksi: Saya tidak setuju

Ekoran itu, pihak pembelaan memohon prosiding ditangguhkan selama lima minit, sebelum kedua-dua pihak dilihat memasuki kamar Mohd Nazlan.

Kedua-dua pihak dilihat keluar dari kamar hakim kira-kira lima minit kemudian, sebelum prosiding perbicaraan bersambung semula dan mahkamah kemudian membenarkan prosiding ditangguhkan.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");