Berita Hari Ini

Pelantikan Latheefa Sah Di Sisi Undang-undang

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana pelantikan Latheefa Koya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah sah di sisi undang-undang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, berkata pelantikan Latheefa sah kerana sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti termaktub mengikut Seksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dan Perlembagaan.

Susulan itu, Mohamad Arif berkata, tidak timbul soal pelantikan Latheefa perlu mendapat kelulusan atau persetujuan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama kerana jawatankuasa berkenaan bukan mempunyai fungsi sama seperti Kongres di Amerika Syarikat.

Beliau berkata, sebenarnya banyak pihak salah faham mengenai fungsi sebenar PSC selaku badan pemantau bukannya meluluskan atau melantik pegawai tertinggi dalam perkhidmatan awam termasuk polis, SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bagi saya tiada keperluan untuk kita meminda Akta SPRM atau Perlembagaan kerana pelantikan Latheefa selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM sah mengikut undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.

“Jadi, PSC juga perlu bertindak mengikut kerangka undang-undang sedia ada iaitu jawatankuasa ini hanya berfungsi untuk mengawal selia dan memantau pelantikan pegawai tertinggi dalam perkhidmatan awam saja,” katanya kepada media di Lobi Parlimen di sini, semalam, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mencadangkan supaya Seksyen 5(1) dipinda bagi menambah baik prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang.

Ketika mencadangkan pindaan itu dibuat pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Kor Ming berkata, ketika ini seksyen berkenaan memperuntukkan kuasa kepada Perdana Menteri melantik mana-mana individu menerajui agensi penguatkuasaan itu.

Katanya, pindaan itu perlu memasukkan klausa supaya sebelum pelantikan dibuat (individu dilantik) perlu dirujuk terlebih dulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama.

Pada 4 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu, bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak perkhidmatan sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan.

Bagaimanapun, Mohamad Arif berkata, PSC mempunyai kuasa memanggil Latheefa jika mereka tidak berpuas hati dengan sebarang isu berkaitan SPRM.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");