Berita Hari Ini

Pelindung Bayi’ Tempat Selamat Bagi Bayi Yang Tidak Diingini

KUCHING: Saban hari kita akan digemparkan dengan kes pembuangan bayi, sama ada bayi itu masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Walaupun tindakan itu dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan, tetapi itulah realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Berdasarkan laporan akhbar, 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 135 kes dalam tempoh lima tahun itu diikuti Sabah (67 kes), Johor dan Kuala Lumpur (62 kes), Kedah (42 kes), Perak (35 kes) dan Pahang (33 kes).

Pengurus Besar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Kuching, Nurhazimah Mahat berkata masalah sosial dalam kalangan masyarakat adalah masalah yang sukar untuk dibendung.

Justeru, KPJ terpanggil untuk menyediakan tempat Pelindung Bayi bagi membenarkan ibu yang melahirkan anak luar nikah meletakkan bayi mereka di tempat yang selamat sekiranya mereka tidak menginginkan bayi itu.

Tempat Perlindungan Bayi ini adalah hasil usahasama antara pihak KPJ, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Hospital kerajaan. Setakat ini, 10 buah tempat Pelindung Bayi KPJ telah diwujudkan di seluruh Malaysia.

“Kita sedih apabila ada individu yang mengambil jalan pintas dengan membuang bayi di tempat yang tidak sepatutnya seperti di tong sampah dan tempat kumbahan. Di manakah sifat keibuan mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Di Kuching, sejak Pelindung Bayi itu dibuka pada tahun 2017, pihak KPJ telah merekodkan tiga kes bayi yang ditinggalkan di tempat pelindung.

Namun, seorang daripada bayi itu telah meninggal dunia pada saat ia diletakkan di dalam pelindung itu, kata Nurhazimah.

“Ketika pihak kami mahu mengambil bayi itu, ia sudah tidak bernyawa di mana badannya kelihatan kebiru-biruan. Bagaimanapun, pihak KPJ tetap menjalankan prosedur pemeriksaan sebelum mayat bayi itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Jelas Nurhazimah, identiti ibu yang meninggalkan bayi itu juga tidak akan diselidik supaya mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Mengenai prosedur pengurusan bayi yang diletakkan di pelindung itu, Nurhazimah berkata, pada saat bayi itu berada di tangan pihaknya, segala pemeriksaan normal bagi bayi yang baru lahir akan dijalankan oleh para pegawai perubatan.

“Jika bayi itu memerlukan rawatan susulan, bayi itu akan diserahkan kepada pakar kanak-kanak untuk dipantau rapi. Kemudian KPJ akan memaklumkan perkara berkenaan kepada Polis dan JKM untuk prosedur pengurusan seterusnya,” katanya.

Setelah pihak JKM mendapat perintah mahkamah, bayi berkenaan akan diserahkan di bawah penjagaan JKM, sehinggalah bayi itu diambil menjadi anak angkat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");