Perak Hari Ini

Pemandu Pelancong Jadi Jurucakap Minyak Sawit: Kementerian Industri Utama Usul Cadangan Rasmi Ke Kementerian Pelancongan

IPOH: Kementerian Industri Utama mengesahkan bahawa telah menghantar surat kepada Kementerian Pelancongan berhubung cadangan melengkapkan pengetahuan berkaitan minyak sawit Malaysia kepada semua pemandu pelancong tempatan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata beliau telah bertemu sendiri dengan Menteri Pelancongan beberapa bulan sebelum ini dan pada minggu lalu pejabat beliau telah menghantar surat cadangan rasmi tersebut.

Sebelum ini difahamkan cadangan sama telah diutarakan pada Februari yang mana ia susulan daripada kerjasama antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Persatuan Pelancong Dalam Malaysia (MITA).

Ujar Teresa, kementerian beliau sentiasa mempergiatkan usaha bagi mempertingkatkan pengetahuan umum berkaitan minyak sawit negara dan perkara tersebut adalah salah satu daripada usaha tersebut.

Katanya dengan melengkapkan pengetahuan itu kepada para pemandu pelancong, ia dilihat mampu mempromosikan penggunaan dan produk berasaskan minyak sawit negara kepada luar.

“Apabila pelancong asing datang ke negara kita, mereka akan mendengar apa yang dikatakan oleh pemandu pelancong kita.

“Apabila pemandu pelancong dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang minyak sawit negara maka mereka boleh memberi informasi tepat seperti kesihatan dan kebaikan daripada minyak sawit kepada pelancong asing,” katanya.

Selain itu beliau turut berkongsi pengalaman beliau dalam lawatan ke China baru-baru ini.

Ujarnya pihak luar berpandangan bahawa minyak sawit merupakan minyak berkualiti rendah kerana harganya murah.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersempena lawatan kerjanya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Datuk Dr Kalyana Sundram berkata cadangan terhadap melengkapkan pemandu pelancong tempatan dengan pengetahuan terhadap minyak sawit negara adalah baik.

“Kita perlukan usaha memberi penerangan tentang kebaikan daripada minyak sawit. Ia dapat membantu menjawab segala dakwaan terhadap kempen anti minyak sawit khususnya daripada media Barat.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk kita bersama-sama dengan Kementerian Pelancongan dalam menjadikan pemandu pelancong tempatan sebagai duta atau jurucakap minyak sawit.

“Dengan fakta yang betul, ia akan membantu menerangkan perkara sebenar kepada pelancong asing dan seterusnya mereka dapat membawa mesej itu pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kerajaan sentiasa menyalurkan dana khususnya bagi tujuan Penyelidikan dan Pembangunan minyak sawit negara.

Jelasnya pada menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk tujuan sama.

Katanya sehingga kini, MPOB telah membangunkan lebih daripada 600 teknologi yang menyumbang kepada pembangunan industri tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");