Membawang Hari Ini

‘Pengarah Baling Skrip Gara-gara Lakonan Tak Sampai’

KUALA LUMPUR: Pernah dilabel pelakon kayu, Rusdi Ramli, 48, mengambil pendekatan menjadikan kritikan berkenaan sebagai pembakar semangat bagi memperbaiki mutu lakonannya.

Rusdi menjelaskan, tidak semua pelakon dikurniakan pakej lengkap, namun setiap anak seni perlu berusaha untuk memperbaiki kekurangan dalam diri mereka.

“Kalau hendak bercakap mengenai kayu, saya juga pernah bermula dengan gelaran sebegitu. Malah, pernah berlaku insiden pengarah membaling skrip ke monitor gara-gara tidak puas hati dengan lakonan saya.

“Apabila diberikan label sebegitu, kita perlu ada usaha untuk mempertingkatkan kemampuan diri. Kita tidak mahu selama-lamanya terus menyandang gelaran sedemikian. Bagi pelakon yang mempunyai pakej dikira lengkap, tentunya ia satu bonus. Bagaimanapun, tidak semua orang dikurniakan kelebihan berkenaan.

“Justeru, andai ada peluang untuk kita memperbaiki mutu lakonan, gunakanlah ia dengan sebaiknya. Seperti kata pepatah, usaha itu tangga kejayaan,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang kini turut bergiat aktif dalam bidang pengarahan itu juga mengakui, senario dunia lakonan dahulu dan sekarang jauh berbeza.

Berkongsi perkembangan terbaru dirinya, anak kepada pelakon veteran, Norlia Ghani, itu tampil menjayakan iklan raya yang diadaptasi daripada kisah benar keluarga pengasas kosmetik, Datuk Alha Alfa.

“Saya tidak tahu sebenarnya ia digarap daripada kisah dialami keluarga Alha. Saya cuma dimaklumkan oleh pengarah mengenai perkara itu ketika berada di lokasi penggambaran, di Janda Baik. Saya bagaimanapun cuba menggalas tanggungjawab diberikan itu sebaik mungkin.

“Jujurnya, rasa sebak sudah terasa sebaik sahaja saya meneliti skrip diberikan oleh pihak produksi. Semoga penonton dapat menghayati mesej yang cuba kami sampaikan menerusi video terbabit,” kata Rusdi yang sudah lebih tiga dekad aktif dalam bidang seni.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");