Berita Hari Ini

Pengerusi Kojadi Dakwa Ahli Lembaga Pengarah ‘Dipaksa’

Pengerusi Koperasi Jayadiri Sdn Bhd, Ng Peng Hay mendakwa ahli lembaga pengarah dipaksa menandatangani kenyataan menentangnya berhubung isu dana 1MDB yang diterima koperasi milik MCA itu.

Semalam, Ng membuat kejutan apabila mendakwa Presiden MCA Wee Ka Siong cuba menghalang pertemuannya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memulangkan dana RM15 juta yang diterima Kojadi daripada Yayasan 1MDB.

Satu kenyataan dikeluarkan kemudian yang menafikan campur tangan Wee yang ditandangani oleh 11 daripada 14 ahli lembaga pengarah Kojadi.

“Tidak lama selepas menerbitkan kenyataan akhbar malam tadi, kira-kira jam 10.30 malam, salah seorang ahli lembaga pengarah menghubungi saya untuk memohon maaf kepada saya kerana dia telah ‘dipaksa’ menandatangani kenyataan akhbar itu.

“Siapa yang paksa 11 ahli lembaga pengarah menandatangani kenyataan akhbar itu? Syukurlah, tiga pengarah lain enggan menandatanganinya,” kata Ng dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga mempertikaikan dakwaan Ng bahawa lembaga itu telah memberi kuasa kepadanya untuk bertemu dengan SPRM berhubung dana 1MDB.

Bagaimanapun, Ng menjelaskan lembaga pengarah memberikan kuasa kepadanya untuk bertemu “pihak berkuasa berkaitan” berhubung perkara itu, yang katanya termasuk SPRM.

“Saya ingin mengulangi bahawa niat saya adalah untuk melindungi kepentingan Kojadi dengan menghalang Kojadi disenarai dalam senarai SPRM yang akan menyebabkan pembekuan akaun Kojadi, yang akan beri kesan buruk kepada kewangan Kojadi, semangat kakitangan, keyakinan ahli, pembayaran gaji dan kutipan pinjaman, “katanya.

Sebanyak 41 individu dan entiti menghadapi saman pelucuthakan sivil kerana menerima dana dari akaun bank milik bekas perdana menteri Najib Razak, yang didakwa diseleweng dari 1MDB.

Bagaimanapun, 11 ahli lembaga pengarah Kojadi semalam berkata wang yang diterima secara langsung daripada cabang amal 1MDB tidak ada kena mengena dengan akaun bank Najib.

Namun penjelasan itu dipertikaikan Ng.

‘Wee tak layak pimpin MCA’

Beliau sebaliknya berkata Wee tidak layak untuk terus memegang jawatan presiden MCA.

“Seluruh dunia tahu wang dalam 1MDB, SRC, akaun Najib dan Yayasan 1MDB semua milik rakyat Malaysia.

“Saya telah menjadi ahli parti yang setia selama 45 tahun. Dan bersama-sama dengan banyak ahli lain, kami berpendapat kamu (Wee) tidak layak untuk memimpin parti.

“Saya akhirnya mengambil keputusan cukup-cukuplah. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan dalam parti (semalam),” katanya.

Ng juga mendakwa beliau mempunyai bukti kiriman Whatsapp yang dihantar oleh Wee, yang katanya “jelas menunjukkan” campur tangan dalam hal ehwal Kojadi.

Najib kini menghadapi 42 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa ke atas penyelewengan berbilion ringgit dana 1MDB.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");