Berita Hari Ini

Penjawat Awam Perlu Pisahkan Diri Dari Ikatan Parti Politik – Tun M

AYER KEROH: Pertukaran kerajaan, terutama sekali di peringkat pusat, memang sesuatu yang ganjil di negara ini, tetapi ia tidak bermaksud penjawat awam perlu rasa terhalang untuk terus melaksanakan tugas hakiki mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, penjawat awam harus terus memastikan perkara yang menjadi keutamaan, iaitu memastikan penyampaian dan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

Atas sebab itu, Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya untuk penjawat awam menjadi golongan berkecuali, dan mengelakkan diri dari ikatan terlalu kuat dengan parti politik di belakang kerajaan memerintah.

“Sekarang, oleh kerana pertukaran yang disebabkan pemilihan baru baru ini, kita punyai kerajaan yang lain, kadang-kadang agak sukar bagi kita untuk mengalihkan kesetiaan kita daripada kerajaan terdahulu dengan yang baharu.

“Namun, oleh kerana kita terima sistem demokrasi, dan kadang kadang memang tukar kerajaan melalui pilihan raya, maka kita perlu ingat, bahawa, anggota dalam perkhidmatan awam, perlu bebas dari mengikatkan diri dari parti memerintah,” katanya di hadapan kira-kira 500 penjawat awam negeri Melaka di Ucaptama YAB Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Melaka, di Kompleks Seri Negeri, di sini hari ini.

Sebelum ini sebuah portal berita memetik sumber dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai berkata, jabatan itu sedang menyiapkan usul ke Kabinet bagi melarang penjawat awam untuk terlibat secara langsung dalam parti politik, kecuali sebagai ahli biasa.

Laporan itu menyebut, usul berkenaan juga akan menyediakan satu lagi pilihan, iaitu meneruskan dasar sedia ada, di mana hanya kumpulan pelaksana serta kumpulan pengurusan profesional perguruan yang dibenarkan aktif dalam politik.

Buat masa ini, difahamkan, ia belum sampai ke peringkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan masih dapam proses mendapat lebih banyak maklum balas di peringkat JPA.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Mahathir turut mengingatkan penjawat awam dan rakyat secara amnya, bahawa pertukaran kerajaan yang dicapai baru-baru ini, langsung tidak menimbulkan ketidakstabilan dalam negara, dan itu merupakan satu pencapaian yang cukup cemerlang.

Perdana Menteri turut mengharapkan agar kesemua penjawat awam dapat membiasakan diri dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam memastikan usaha penyampaian lebih cemerlang.

“Kita sedang hadapi IR4.0 yang melibatkan teknologi automasi, Internet of Things, Big Data, integrasi sistem dan cloud computing yang akan ubah norma kerja kita.

“Lantaran itu perkhidmatan awam tak terkecuali dalam arus ini. IR4.0 akan jadi pemangkin kepada proses transformasi sistem pentadbiran kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kesemua agensi kerajaan perlu pastikan penjawat awam tidak ketinggalan, sebaliknya akan sentiasa up to date dengan kemahiran baru, melalui pelbagai inisiatif seperti upskilling dan reskilling sebagaimana digariskan dalam Dasar Kebangsaan Industri 4.0 lapor Astro Awani.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");