Berita Hari Ini

Saksi: Pinjaman Susulan SRC Tak Melalui Kabinet

Putrajaya memberi lebih RM600 juta pinjaman untuk membantu SRC International membayar faedah hutang RM4 bilion kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) selepas syarikat itu gagal membayar faedah berkenaan sendiri, namun tidak semua pinjaman itu mendapat kebenaran kabinet.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, yang merupakan saksi ke-41 dalam kes perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak.

Terdahulu, dalam kenyataan kesaksian bertulisnya, Afidah berkata kerajaan menambah RM642 juta melibatkan tiga pinjaman antara 2015 dan 2017 kepada SRC International, yang mana RM595 juta sudah digunakan.

Afidah mengesahkan dalam kenyataan kesaksian bertulisnya bahawa pinjaman pertama bernilai RM92 juta pada 2015 mendapat kebenaran kabinet, namun tidak menyebutkan tentang dua pinjaman lain, iaitu masing-masing bernilai RM250 juta pada 2016 dan RM300 juta pada 2017.

Ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh, Afidah berkata pinjaman kedua pada 2016 tidak melalui kabinet.

Harvinder: Adakah pinjaman pada 2015, 2016, dan 2017 mendapat kebenaran kabinet?

Afidah: Hanya pinjaman pada 2015 yang mendapat kebenaran kabinet.

Harvinder: Bagaimana pula dengan pinjaman pada 2016 dan 2017? Hanya dapat kebenaran daripada ketua setiausaha perbendaharaan negara?

Afidah: Boleh saya rujuk (dokumen)?

Harvinder: Pinjaman RM250 juta pada 2016 mendapat kebenaran ketua setiausaha perbendaharaan negara dan kementerian kewangan II?

Afidah: Ya.

Bagi pinjaman RM300 juta pada 2017, Afidah berkata, ia bukan di bawah bidang kuasanya kerana peranannya sudah ditukar ketika itu.

Harvinder: Bagaimana pula dengan pinjaman pada 2016?

Afidah: Bagi pinjaman 2016, saya menerima arahan daripada bahagian setiausaha.

Harvinder: Siapa beri kelulusan?

Afidah: Kelulusan daripada menteri kewangan.

Najib merupakan menteri kewangan pada 2016, sementara menteri kewangan II adalah Johari Abdul Ghani yang menggantikan Ahmad Husni Hanazlah pada Jun tahun itu.

Menurut keterangan kesaksian Afidah, cadangan pinjaman RM92 juta pada 2015 dinyatakan melalui notis dalaman, selain notis kabinet yang ketika itu dikemukakan kepada bahagian setiausaha Kementerian Kewangan.

Selepas mendapat kelulusan, ia dikemukakan kepada timbalan ketua setiausaha perbendaharaan negara dan seterusnya kepada Menteri Kewangan II Ahmad Husni, dan diluluskan. Ia kemudian dikemukakan kepada kabinet dan dipersetujui.

Bagi pinjaman pada 2016, ia dikatakan hanya melalui notis dalaman berdasarkan arahan bahagian setiausaha Kementerian Kewangan, yang seterusnya dikemukakan kepada timbalan setiausaha perbendaharaan dan seterusnya kepada setiausaha perbendaharaan negara.

Selepas itu, ia dikemukakan kepada Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani dan mendapat persetujuan Najib.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");