Berita Hari Ini

Sampel Air Di 4 Lokasi Perkampungan Kuala Koh Diambil Lagi

GUA MUSANG: Sampel air di empat lokasi sekitar perkampungan Kuala Koh, di sini, sekali lagi diambil bagi mendapatkan keputusan lebih tepat susulan insiden kematian 15 Orang Asli suku Batek.

Antara jabatan terbabit kerja pengambilan sampel berkenaan, hari ini, ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Empat lokasi terbabit adalah berdasarkan rujukan penduduk kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Jariah Malaysia yang mendakwa kematian Orang Asli berkenaan berpunca daripada penggunaan air di tempat berkenaan.

Lokasi itu membabitkan air tadahan bukit yang memerlukan petugas berkenaan, termasuk media mendaki bukit selama 40 minit untuk tiba, sungai tempat mandi penduduk, telaga tiub dan air sambungan di kawasan penempatan.

Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat, berkata semua sampel air berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.

“Ini kali ketiga sampel diambil dan ada lima siri lagi sampel perlu diambil bagi memastikan ketepatan keputusan, sekali gus memuaskan hati semua pihak.

“Operasi pengambilan sampel hari ini yang bermula jam 10 pagi hingga 3 petang berjalan lancar. Kita menjangkakan keputusan penuh lapan sampel berkenaan diperoleh pada bulan depan.

“Pengambilan sampel membabitkan lapan siri itu adalah untuk mencapai keputusan konklusif yang membezakan keadaan cuaca. Fokus ialah pencemaran air kerana kita mahu penduduk Orang Asli mendapat air yang bersih,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kimia, Mohd Zaini Abdul Rahman; Pengarah JMG Kelantan, Che Abdul Rahman Jaafar; Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr Mohamad Rafiq Mohd Kasri; dan Presiden Sahabat Jariah Malaysia, Johan Halid.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, lokasi sampel diambil adalah sama dengan sebelum ini, melainkan ada maklumat tambahan daripada pihak berkaitan lapor BHarian.

“Kita berterima kasih kepada NGO yang banyak menyalurkan maklumat kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok, berkata beliau berpuas hati apabila pihak berkaitan turun padang mengambil sampel semula.

“Saya berterima kasih kerana pihak berkenaan prihatin terhadap nasib yang menimpa kami. Walaupun keadaan kampung sudah kembali kepada asal, kami masih bimbang untuk menggunakan air,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");