Berita Hari Ini

Shamsul Jawab Tuduhan ‘Pembersihan Etnik’ Di Hospital

Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Md Akin berkata Umno Melaka sengaja menimbulkan isu perkauman dalam isu peletakan jawatan di hospital berkaitan kerajaan (GLC).

Pemuda Umno Melaka semalam mendakwa Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Chong May Lee yang juga merupakan ketua Wanita DAP Melaka, melakukan pembersihan etnik dan memasukkan kroni mereka untuk menjarah hasil kerajaan negeri Melaka.

Chong menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Pemuda Umno Kota Melaka dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa 10 individu yang terdiri daripada sembilan orang Melayu dan satu orang India meletakkan jawatan kerana mendapat tekanan.

Bagaimanapun, Shamsul, yang juga merupakan pengerusi hospital itu berkata, 13 individu yang meletakkan jawatan terdiri daripada sembilan Melayu, dua Cina dan dua India.

“Sembilan daripada nama-nama pekerja yang dinyatakan di dalam senarai nama tersebut telah meletakkan jawatan secara sukarela tanpa sebarang dorongan atau paksaan.

“Mereka telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Jabatan Sumber Manusia pihak hospital.

“Manakala seorang lagi pekerja daripada senarai nama tersebut telah tamat kontrak pekerjaan dan kontrak beliau telah tidak diperbaharui oleh pihak hospital,” katanya.

Shamsul menafikan berlaku sebarang diskriminasi dan menjelaskan bahawa majoriti kakitangan hospital berkenaan ketika ini adalah Melayu, iaitu seramai 53 orang, diikuti Cina 16 orang, India lapan orang, dan lain-lain kaum tiga orang.

“Pihak hospital juga ingin menegaskan bahawa tidak ada seorang pun pekerja peringkat pengurusan yang baru dilantik yang mempunyai penglibatan politik dan merupakan ahli kepada mana-mana parti politik dan ahli keluarga atau kawan kepada CEO.

“Walaupun CEO hospital merupakan seorang ahli parti DAP, beliau telah bertindak secara profesional dan membuat penilaian berdasarkan kepada prestasi setiap pekerja tanpa sebarang bentuk diskriminasi.

“Beliau ialah bekas akauntan yang pernah berkhidmat selama lebih 20 tahun di beberapa syarikat terkemuka dunia dan pulang ke Malaysia pada tahun 2010 di bawah Kementerian Sumber Manusia (sekarang diurus oleh Talent Corp), Program Kepulangan Pakar,” kata Shamsul.

Naib presiden PKR itu juga memaklumkan bahawa laporan polis mengenai kenyataan Pemuda Umno Melaka dan Pemuda Umno Kota Melaka sudah dibuat.

Tambah Shamsul, di bawah kepimpinan baru hospital itu berjaya menangani kelemahan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017.

Ia termasuklah memperketat prosedur operasi piawai (SOP), memperbaiki amalan tadbir urus, koleksi kutipan hutang dan kawalan terhadap tunggakan penghutang.

Shamsul mendedahkan bahawa pihak hospital berjaya mencatat keuntungan RM300,000 dari Jan hingga Mei 2019 berbanding kerugian yang dialami pada 2016 RM2.9 juta, tahun 2017 RM10 juta, dan tahun 2018 RM3.6 juta.

“Pentadbiran hospital juga telah menaiktaraf dan membuat penambaikan di dalam fasiliti dan infrastruktur seperti bilik teater, setengah tandas bilik sementara lobi dalam proses pengubahsuaian dan dijangka akan siap pada hujung bulan Julai 2019.

“Kami juga telah memenuhi permintaan doktor yang tidak dipenuhi sekian lama di mana bilik rehat doktor pakar yang baru telah disediakan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");