Berita Hari Ini

Silibus Pengkomputeran, Teknologi Digital Dikaji – Gobind

KLANG: Kerajaan sedang merangka dasar baharu dengan mewujudkan silibus pengkomputeran dan teknologi digital di peringkat sekolah, kolej kemahiran serta vokasional.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata pelajar perlu diberi pendedahan awal mengenai perkembangan revolusi digital, sekali gus bersedia untuk berdepan dunia masa depan.

“Bagi tujuan ini, kita bekerjasama dengan Dr Maszlee (Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik) untuk melihat daripada aspek pendidikan dan Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran) pula beri pandangan dalam konteks pekerjaan.

“Kita juga mendapatkan pandangan Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman) bagi tujuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Dewan Dr V David di Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT), Pandamaran di sini, hari ini.

Penubuhan Kolej WIT adalah cetusan idea David bersama Tan Sri Zainal Rampak yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej WIT.

Kolej WIT yang dikendalikan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan (WTU), kini mempunyai 1,300 pelajar.

Dalam pada itu, ditanya bila silibus pengkomputeran dan teknologi digital itu akan dilaksanakan, Gobind berkata, ia akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Apa pun kita kena bentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu. Namun kita sedar kita tidak boleh tetapkan tempoh masa bila pelaksanaannya.

“Sebab kita memerlukan pandangan semua pihak, jadi kita tidak boleh tetapkan tempoh masa,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata, kerajaan perlu menyediakan infrastruktur capaian internet yang lebih baik bagi memastikan semua lapisan rakyat tidak ketinggalan dengan revolusi digital.

“Kerajaan kena pastikan semua rakyat dapat akses kepada internet. Internet dan teknologi ialah infrastruktur yang penting,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");