Berita Hari Ini

Suspek Rosakkan Makanan Kedai Serbaneka Serah Diri Kepada Polis

NILAI – Tiga lelaki yang terlibat dalam satu rakaman video merosakkan barang makanan di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di sini semalam menyerah diri kepada polis petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, ketiga-tiga lelaki itu menyerah diri di pekarangan Balai Polis Nilai pada pukul 3.45 petang.

“Seorang daripada mereka berusia 20 tahun, manakala dua lagi masing-masing berusia 18 tahun. Mereka menyerah diri selepas tahu pihak polis mencari mereka susulan kejadian itu.

“Kami masih dalam proses merakam keterangan ketiga-tiga mereka dan tindakan susulan akan diambil selepas proses itu selesai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, berdasarkan rakaman video itu cuma seorang dilihat merosakkan makanan, manakala seorang lagi merakam video.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan polis memburu lelaki yang terlibat dalam rakaman video merosakkan barang makanan di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di sini semalam.

Lelaki terlibat dicari pihak polis bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat selepas pihak premis membuat laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.20 malam tadi.

Mereka didakwa merosakkan barang makanan dan minuman dengan sengaja menyebabkan kerugian RM30 ke atas premis tersebut.

Berdasarkan rakaman video yang tular, lelaki terbabit dilihat menggoncang beberapa kek, meminum minuman berbotol dan mengalihkan produk-produk lain dari susunan asal yang berada di rak jualan kedai berkenaan.

Perlakuannya itu dirakam sendiri oleh rakannya dan dikongsikan melalui Instagram sebelum menjadi tular di media sosial sehingga menerima kecaman netizen.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");