Sukan Hari Ini

Tak Mustahil Tapi Bersyarat – FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan usaha negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk menganjurkan Piala Dunia 2034 di rantau ini bukanlah sesuatu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan peluang untuk membida hak tuan rumah kejohanan itu akan menjadi lebih cerah dengan bantuan dan sokongan sepenuhnya daripada pihak kerajaan memandangkan pelbagai aspek perlu dipertimbangkan bagi menjayakan usaha terbabit.

Mengakui usaha itu sebagai satu perkembangan yang positif buat bola sepak negara, Hamidin menjelaskan kajian menyeluruh dan lebih teliti perlu dijalankan memandangkan ia membabitkan penyertaan beberapa negara yang sudah pasti memerlukan kerjasama yang begitu baik.

“Setiap bidaan perlu dibuat menerusi persekutuan bola sepak dan bukannya oleh kerajaan kerana tugas kerajaan adalah untuk memberi sokongan. Kita perlu melihat perkara ini secara menyeluruh.

“Bagi saya, ia mudah. Jika kita mahu menganjurkan Piala Dunia dengan beberapa negara, ini satu perkara yang baik jika melihat kepada ekonomi, tarikan pelancong namun kerajaan perlu memberi sokongan 100 peratus kepada kita.

“Kita memerlukan sokongan daripada segi infrastruktur, imigresen, kesihatan dan sebagainya. Ini bukan kepada kita saja namun kepada semua negara yang mahu melakukan bidaan.

“Kriteria Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) begitu ketat dan untuk itu, kita memerlukan sokongan kerajaan dalam semua perkara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hamidin menjelaskan dua negara ketika ini tampak berminat untuk melakukan bidaan selepas hasrat beberapa negara sebelum ini terbantut.

“Indonesia sebelum ini pernah cuba bekerjasama dengan Thailand untuk melakukan bidaan namun Thailand menarik diri. Apapun Indonesia mengesahkan mereka masih bekerjasama dengan kerajaan mereka untuk meneruskan usaha itu dan kini Australia mahu menyertai mereka.

“Jika kita mendapat empat negara untuk bekerjasama sebagai contoh Thailand, Australia, Indonesia dan Malaysia, sudah tentu ia bagus namun kita memerlukan stadium yang menepati kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034, demikian dimaklumkan oleh Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha.

Malah, keputusan negara anggota ASEAN untuk membangunkan usaha terbabit dilihat mampu memberi laluan kepada rantau ini sebagai penganjur kejohanan sukan terbesar di dunia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata usaha itu mampu direalisasikan selepas lima negara ASEAN membangkitkan idea berkenaan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");