Berita Hari Ini

‘Tak Perlu Sangsi Janji Dr M Serah Jawatan Pada Anwar’

Pengerusi PKR Johor Hassan Abdul Karim menyeru agar rakyat Malaysia tidak sangsi dengan janji Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Hassan berkata demikian dalam kenyataan media hari ini dengan merujuk kenyataan Dr Mahathir yang mengulangi janji berkenaan dalam wawancara bersama Bloomberg.

“Kenapa saya percaya (janji Dr Mahathir)? Kerana Dr Mahathir sedar dia berjanji kepada rakyat Malaysia.

“Bukan kepada Anwar seorang. Bukan kepada pimpinan PH sahaja.

“Dr Mahathir telah berjanji kepada lebih 30 juta rakyat Malaysia ketika pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu,” katanya.

Dalam wawancara bersama Bloomberg yang disiarkan semalam, Dr Mahathir ditanya sama ada beliau melihat Anwar sudah bersedia menjadi perdana menteri.

Pengerusi PH itu menjawab dengan berkata bahawa, sama ada Anwar bersedia atau tidak, dia tetap akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya seperti yang dipersetujui.

Dr M mahu jaga legasi

Sementara itu, mengulas lanjut, Hassan yang juga merupakan ahli parlimen Pasir Gudang berkata, Dr Mahathir tidak mempunyai alasan untuk tidak menunaikan janji itu.

Ini kerana, menurutnya, Dr Mahathir ingin menjaga legasi sebagai negarawan serta penghormatan yang diberikan kepadanya oleh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.

“Dr Mahathir seorang Muslim, seorang Islam. Beliau cukup faham sifat seorang munafik ialah mungkir janji apabila berjanji.

“Mahathir yang kini disayangi rakyat Malaysia dan dihornati dunia tentu ingin mengekalkan imej baik dan mulia di hujung usianya.

“Atas sebab itu saya cukup percaya bahawa Dr Mahathir adalah seorang negarawan besar yang kita ada.

“Jadi janganlah kita sangsi lagi. Apabila sampai masanya proses peralihan jawatan Perdana Menteri Malaysia dari Mahathir kepada Anwar akan terlaksana juga akhirnya dalam masa tidak lama lagi,” katanya.

Kumpulan Otai Reformis pada 14 Jun lalu menggesa Dr Mahathir memberikan garis masa penyerahan jawatan perdana menteri kerana menyifatkan prestasi PH merudum.

Susulan itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mengingatka agar penyokong Anwar “tidak gelojoh” dengan peralihan kuasa.

Meskipun sebelum ini pernah timbul cadangan agar Dr Mahathir terus memegang jawatan perdana menteri untuk sepenggal, pengerusi PH itu berulang kali memberi jaminan akan menyerahkan jawatan kepada Anwar seperti dipersetujui PH sebelum PRU ke-14.

Pada Jan lalu, Dr Mahathir dipetik media sebagai menegaskan akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar dalam tempoh dua tahun atau “mungkin lebih sedikit”.

“Mungkin lebih sedikit, tapi saya sudah janji, saya akan tunaikan janji,” kata Dr Mahathir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");