Berita Hari Ini

Tidak Terima Kertas Cadangan Pembinaan Lapangan Terbang – MOT

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan pihaknya tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan berhubung pembinaan dua lapangan terbang baharu di Pulau Pinang.

MOT dalam satu kenyataan berkata, selain tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan itu, pihaknya juga tidak dibabitkan dalam sebarang perbincangan mengenainya.

“Kuasa untuk menubuhkan atau menyenggarakan sesuatu aerodrom atau membenarkan mana-mana syarikat yang mempunyai lesen untuk menubuhkan, menyenggarakan dan mengendalikan sesuatu aerodrom adalah kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pengangkutan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3].

“Kementerian Pengangkutan juga menggesa pihak media supaya tidak membuat sebarang laporan spekulasi berhubung pembinaan lapangan terbang tanpa pengesahan daripada pihak kementerian ini.

“Kementerian Pengangkutan pada masa ini sedang merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sedia ada di Bayan Lepas,” katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, dua syarikat pemaju swasta berminat membangunkan dua lapangan terbang baharu di daerah Seberang Perai Selatan.

Satu daripada pemaju swasta terbabit dikatakan sudah membentangkan cadangan berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan, manakala sebuah lagi syarikat dikatakan akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

Cadangan pertama projek itu dilapor dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA), yang dikatakan akan mengambil ribuan hektar tanah perusahaan sawah.

Manakala, cadangan kedua pula dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara Malaysia (NORIA) yang dikatakan akan mengambil 5,000 hektar pesisir pantai Seberang Perai Selatan dengan kedua-duanya dicadang dibina pada jarak 10 kilometer.

Cadangan itu dikatakan akan menyebabkan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) terpaksa ditamatkan, selain tapak lapangan terbang itu akan menjadi timbal balas kepada pemaju NMIA.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");