Berita Hari Ini

Tidak Wujud Percanggahan Koperasi, Pertubuhan Perniagaan

GEORGETOWN: Kementerian Dalam Negeri menafikan wujudnya percanggahan kepentingan sekiranya koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam perniagaan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pembabitan koperasi dalam mana-mana pertubuhan perniagaan tidak bercanggah dengan tujuan penubuhannya.

Selain itu, katanya, kepemimpinan mana-mana koperasi tertakluk kepada undang-undang dan boleh disiasat pihak berkaitan, sekiranya terbukti melakukan sebarang kesalahan atau rasuah.

“Koperasi ada undang-undang dia dan memang banyak yang terbabit dalam perniagaan untuk membantu ahlinya. Ia bukan sahaja polis, tetapi (turut membabitkan koperasi) tentera, penjawat awam, individu dan kampung.

“Tambahan, koperasi mempunyai berjuta-juta ahli dan tujuan (terbabit dalam perniagaan) untuk membantu kebajikan ahli. Saya fikir ini tak bercanggah.

“Pihak berkaitan boleh sampaikan (aduan) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kalau ada bukti kesalahan, elemen rasuah atau lain-lain. Mereka juga tidak bebas daripada undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang di Sungai Nibong di sini, malam tadi, lapor BH Online.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Luar merangkap Setiausaha Agung PPBM, Senator Datuk Marzuki Yahaya dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Terdahulu, Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) dalam kenyataannya mempersoal pembabitan PDRM dengan pertubuhan perniagaan yang dikatakan akan mewujudkan percanggahan kepentingan.

Itu susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang menjelaskan 67 persatuan berdaftar dengan PDRM terbabit dengan pertubuhan perniagaan, baru-baru ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");