Berita Hari Ini

Tok Mat: Macam Mana Nak Pulang Dana 1MDB, Akaun Umno Kena Beku

Pemangku presiden Umno Mohamad Hasan mempertikaikan kewajaran Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir yang meminta Umno memulangkan semula dana yang dikatakan diterima daripada 1MDB.

Hal ini memandangkan akaun dana parti tersebut sudah dibekukan oleh kerajaan.

“Saya tegaskan bahawa permintaan itu bukan sahaja tidak berasas tetapi amat jelas menunjukkan yang Akmal tidak peka dengan keadaan semasa.

“Ini kerana, sekalipun dana yang diterima Umno itu dibuktikan kelak sememangnya datang dari 1MDB, bagaimana untuk Umno pulangkan sedangkan dana Umno sudah dibekukan oleh kerajaan,” katanya pada hantaran Facebook malam ini.

Mohamad Hasan juga pelik apabila Akmal yang juga ahli parlimen Johor Bahru itu menggesanya untuk memintas proses undang-undang hanya kerana mahu kemahuannya yang tidak berasas itu dituruti.

“Pertama sekali, pemfailan oleh SPRM untuk pengembalian dana yang kononnya dari 1MDB tersebut adalah satu proses undang-undang.

“Adakah Akmal sebenarnya tidak yakin bahawa SPRM boleh membuktikan kes mereka dan beliau tidak mempercayai kebolehan mahkamah dalam membicarakan kes ini?” Soalnya.

“Komitmen terbaik Umno adalah untuk menghormati proses tersebut, tidak melakukan sebarang campur tangan dan memberikan kerjasama sepenuhnya,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Akmal meminta Mohamad memulangkan semula dana 1MDB yang diagihkan kepada parti itu untuk menunjukkan beliau berbeza dengan bekas presidennya, Najib Razak.

“Kita dah dengar pembaharuan dalaman yang Umno mahu buat.

“Saya fikir ini adalah peluang keemasan untuk Mohamad bagi melangkaui Najib dan 1MDB,” kata Akmal.

Sementara itu Mohamad juga menyindir Akmal, berkata partinya tiada persaingan antara geng-geng dalaman seperti pergeseran Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

“Jangan salah faham, saya bukan dalam proses untuk bersaing dengan sesiapa pun.

“Umno tidak bermain geng-geng dalaman. Fokus saya sekarang adalah untuk memulihkan Umno dan mengukuhkannya secara keseluruhan. Ini bukan perlumbaan seperti mana pergeseran Azmin vs Anwar.

“Sebagai seorang ahli parlimen, bercakap tanpa sebarang pengetahuan asas undang-undang dan fakta terkini adalah sangat mengecewakan.

“Sekalipun ingin muncul relevan dan berpemikiran, saya harap Akmal boleh memberikan cadangan yang kalaupun tidak bernas, sekurang-kurangnya biarlah rasional dan praktikal,” tegas Mohamad lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");