Berita Hari Ini

Tukang Paip Ditembak Polis

ALOR SETAR: Seorang pemuda cedera di lengan kiri akibat ditembak anggota polis trafik, ketika cuba menghentikan motosikal dinaiki bersama rakannya di Jalan Langgar, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku semasa mangsa, tukang paip, Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, dari Kuala Kedah sedang membonceng motosikal ditunggang oleh rakannya untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu di sini.

Ibu mangsa, Hashimah Mahmood, 49, berkata dia difahamkan anak ketiga daripada lima beradik itu ditembak selepas melanggar lampu isyarat di jalan berkenaan.

“Polis trafik yang kebetulan berada di jalan itu bertindak mengejar motosikal yang dinaiki anaknya sebelum melepaskan tembakan.

“Berikutan kejadian itu, anak saya kini ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah dan pihak hospital memaklumkan akan menjalankan satu pembedahan bagi mengeluarkan sebutir peluru pada tangan anak saya malam ini,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi, lapor BH Online.

Hashimah berkata, anaknya yang masih dalam keadaan sedar mengadu kepadanya bahawa dia sudah menyuruh rakannya memberhentikan motosikal, namun rakannya itu enggan berbuat demikian kerana tiada lesen.

Beliau berkata, polis berkenaan tidak wajar melepaskan tembakan kerana anaknya tidak memberi sebarang ancaman kepada polis itu.

“Berdasarkan apa yang diberitahu anak saya, selepas ditembak, anggota itu meninggalkan anak saya dalam keadaan berlumuran darah dan tidak membantu menghubungi ambulans. Perbuatan anggota itu tidak wajar.

“Saya ingin menuntut keadilan untuk anak saya yang mungkin akan cacat seumur hidup,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mat Kasim Karim mengesahkan menerima laporan terbabit.

Katanya, setakat ini anggota polis trafik yang melepaskan tembakan itu masih belum membuat laporan polis.

“Kemungkinan tembakan yang dilepaskan dengan niat untuk memberhentikan motosikal berkenaan.

“Bagaimanapun, tindakan itu tidak wajar dan bertentangan dengan Perintah Tetap Ketua Polis Negara.

“Sekiranya tindakan anggota polis itu didapati bertentangan dengan undang-undang, ia akan membuka ruang kepada mangsa untuk mengambil tindakan sivil terhadap polis,” katanya dalam kenyataan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");