Berita Hari Ini

Tumor Ainul Mardhiah Berjaya Dikeluarkan

Selepas mengharungi detik getir selama lima jam di dewan pembedahan, sekumpulan doktor pakar berjaya mengeluarkan tumor seberat 200 gram dari mulut Ainul Mardhiah di London.

“Alhamdulillah, Ainul, kamu budak yang kuat! Selepas lima jam bertarung di dewan bedah, tumor (seberat 200gram) berjaya dikeluarkan. Anda takkan dapat bayangkan betapa berdebarnya saya dalam dewan bedah.

“Budak yang begitu kecil, dan cantik- Jangan bimbang, semua orang di sini untuk membantu kamu”, coret salah seorang doktor yang menyertai pembedahan tersebut, Dr Nur Amalina Che Bakri ketika berkongsi khabar gembira itu di Instagram miliknya.

Kata Amalina, memandangkan pembedahan itu merupakan pembedahan berisiko tinggi, banyak persediaan perlu terlebih dahulu dilakukan bagi memastikan keselamatan Ainul.

Tambahnya, pasukan pakar yang mengendalikan pembedahan Ainul melibatkan pelbagai pakar bedah daripada pelbagai bidang termasuklah kraniofasial, plastik, serta perunding leher dan kepala, diketuai Prof David Dunway dan Mr Juling Ong.

“Mereka ini pakar dalam bidang masing-masing. Saya sangat berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan pembedahan ini,” katanya yang turut memaklumkan Ainul kini berada dalam keadaan stabil.

Selain itu, Amalina turut meminta semua pihak agar mendoakan kesihatan dan pemulihan Ainul.

“Apabila saya keluar dari dewan bedah dan ternampak ibu bapa Ainul, saya tak dapat kawal perasaan saya. Bercampur-baur. Ini adalah perjalanan yang sungguh beremosi dan memberikan semangat buat saya.

“Ainul, Wani dan Safi (ibu bapa Ainul) sudah seperti keluarga saya sendiri. Mari kita doakan pemulihan Ainul. Terima kasih atas doa semua pihak,” tambahnya lagi.

Penderitaan Ainul, sembilan bulan, yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila kisahnya tular di media sosial.

Banyak pihak menghulurkan sumbangan bagi membantu Ainul mendapatkan rawatan penyakitnya itu.

Ainul bersama ibu dan bapanya berlepas ke London dan selamat tiba pada 24 Mei lalu bagi tujuan pembedahan tersebut.

Ainul dibawa ke dewan bedah pada jam 11 pagi semalam, waktu tempatan. -Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");