Kementerian Industri Utama dalam satu kenyataan berkata, dengan penamatan itu, pihak kementerian tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan Haziq Abdullah.

“Pihak kementerian tidak akan bertolak ansur dalam sebarang soal perilaku yang menjejaskan reputasi serta imej kementerian.

“Sehubungan itu, kementerian telah mengambil langkah menamatkan kontrak perkhidmatan Haziq Abdullah berkuat kuasa pada 18 Jun lalu,” katanya di sini hari ini.

Kementerian Industri Utama berkata, pihaknya memandang pengakuan Haziq Abdullah menerusi klip video di media sosial pada 12 Jun lalu sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.

“Surat tunjuk sebab telah diberikan dengan serta-merta dan Haziq Abdullah telah menjawabnya.

“Bagaimanapun pihak kementerian tidak berpuas hati dengan jawapan balas yang diberikan,” katanya.

Shamsul Iskandar sebelum ini dilaporkan berkata, Haziq telah menghantar surat tunjuk sebab pada 14 Jun lalu dan pihak kementerian kini sedang meneliti surat tersebut.

Beliau berkata, antara jawapan yang dinyatakan Haziq dalam suratnya adalah dia mengalami kemurungan ekoran penularan video seks tersebut dan memerlukan masa untuk menghubungi kementerian.

Kosmo! sebelum ini, melaporkan Kementerian Industri Utama menggantung serta-merta Haziq daripada melaksanakan tugas-tugas rasmi secara serta-merta dan diarah menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari daripada tarikh 12 Jun.

Keputusan itu dibuat susulan pengakuannya dalam satu video di Facebook mendakwa dirinya merupakan individu dalam video intim yang dikaitkan dengan lelaki mirip Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas rakaman berkenaan tersebar di media sosial lapor Kosmo Online.