Berita Hari Ini

Video Pendidikan Seks Melalui YouTube

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan video pendidikan seks bagi kanak-kanak melalui YouTube.

Sebanyak lima video dilancarkan sekali gus dalam bentuk iklan yang dipautkan dengan sebarang video popular di negara ini dan boleh ditonton oleh kanak-kanak sebelum menonton video pilihan mereka lapor BHarian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform YouTube pertama kali dilaksanakan di Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pendekatan kreatif melalui YouTube bertujuan memastikan mesej dapat disampaikan secara meluas melangkaui kumpulan sasar kementerian.

“Kanak-kanak perlu tahu dan diajar apa itu ‘safe touch’ (sentuhan selamat) dan ‘bad touch’ (sentuhan buruk) seawal mungkin.

“Pengetahuan dan kesedaran disampaikan melalui video ini perkara asas yang kanak-kanak perlu tahu bagi mengelak menjadi mangsa dan membantu mereka mengenal pasti tingkah laku mencuriga yang sepatutnya dilaporkan.

“Sebagai contoh, banyak kes membabitkan kanak-kanak ini adalah dengan seseorang yang mereka kenali. Kemungkinan hari demi hari jadi tak elok. Maka kanak-kanak mesti tahu tanda dan apa nak buat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dr Wan Azizah berkata, pihaknya menyasarkan video itu akan ditonton oleh 150,000 kanak-kanak pada tahun ini dan mungkin akan dihasilkan dalam bahasa lain, selain bahasa Melayu ketika ini.

Sementara itu, Yeoh berkata, video tempoh satu minit bagi setiap siri itu usaha kementerian dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysians Against Pornography, selain Google selaku pengendali YouTube.

“Setiap video memaparkan senario berbeza dengan kita menyasarkan ia ditonton oleh kanak-kanak, terutama di bawah usia tujuh tahun yang tidak diajar mengenai apa yang boleh atau tidak boleh, misalnya berkaitan sentuhan.

“Kita memang menghasilkannya dalam bentuk iklan supaya kanak-kanak yang mahu menonton video popular seperti Sesame Street atau Upin Ipin, dapat menontonnya terlebih dahulu kerana ia dipautkan sebagai iklan sebelum sesuatu video popular disiarkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");