Berita Hari Ini

YADIM Mahu Dr Zakir Diberi Keadilan Asasi

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru prinsip keadilan asasi diberikan kepada Dr Zakir Naik memandangkan beliau sudah menyatakan kesediaan untuk dibicarakan jika diberi jaminan keselamatan dan keadilan.

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz, berkata tekanan berterusan dikenakan pihak berkuasa ke atas Dr Zakir sejak 2017 adalah satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang amat dikesali, sedangkan semua pertuduhan masih belum dibuktikan bahkan terdapat beberapa cubaan pertuduhan sudah digugurkan mahkamah.

“Prinsip menjamin keadilan adalah satu daripada teras Maqasid Syariah yang sudah diberi penekanan. Malah, jaminan keadilan bagi Islam adalah suatu teras yang wajib dipertahankan sungguhpun kepada bukan Islam.

“Ini kerana konsep Rahmat dalam Islam jauh melangkaui sempadan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Omar berkata, YADIM berpandangan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Dr Zakir wajib dipertahankan segenap lapisan masyarakat.

Beliau berkata, YADIM meyakini seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya adalah sesuatu yang wajar dihayati dan dipertahankan semua pihak yang menjunjung tinggi konsep kedaulatan undang-undang dan kerahmatan sejagat.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, Putrajaya berhak menolak sebarang tuntutan ekstradisi dari New Delhi, yang mahu Dr Zakir dihantar pulang untuk berdepan dakwaan pengubahan wang membabitkan kira-kira RM115 juta.

Bagaimanapun, kenyataan dibuat Dr Mahathir itu mendapat kritikan peguam, Siti Kasim yang menyifatkan tindakan itu sebagai ‘mengarut’.

Sebelum ini, Siti bersama 18 individu lain memfailkan saman terhadap kerajaan yang menuduh melindungi Dr Zakir kerana disifatkan ancaman terhadap Malaysia.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membuang saman itu pada Februari tahun lalu.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");