Perak Hari Ini

10 Projek Batal, 18 Akan Dilaksanakan Di Bagan Datuk

IPOH: Sebanyak 10 projek bernilai RM1.043 bilion di daerah Bagan Datuk telah dibatalkan pelaksanaannya, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jelasnya antara projek yang terlibat ialah projek menaik taraf Laluan 69 dari Parit 19, Hutan Melintang ke pekan Bagan Datuk yang bernilai RM529.0 juta.

Selain itu projek persimpangan bertingkat di Hutan Melintang, Bagan Datuk yang bernilai RM144.4 juta serta projek Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk yang bernilai RM138.0 juta, juga dibatalkan.

“Seperti yang telah kita sedia maklum, berdasarkan kepada surat Kementerian Kewangan bertarikh 29 Jun 2018, projek-projek yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima adalah dibatalkan pelaksanaannya,” katanya.

Walau bagaimanapun ujarnya, sebanyak 18 projek lain di daerah sama telah diluluskan kerajaan dan akan dilaksanakan.

Katanya ia terdiri daripada 11 projek bernilai RM1.049 bilion yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Jelas Menteri Besar, antara projek yang tersenarai ialah projek pembinaan Politeknik Bagan Datuk yang bernilai RM220.0 juta, projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk (RM130.0 juta) serta projek pembinaan Kompleks Sukan Bagan Datuk (RM39.4 juta).

Tambah beliau, selain daripada itu, sebanyak tujuh projek yang diperuntukkan di bawah peruntukan khas, bernilai RM21.55 juta juga antara 18 projek yang diluluskan.

Di bawah peruntukan yang sama juga, Ahmad Faizal berkata, sebanyak 25 projek bernilai RM12.03 juta telah ditangguhkan pelaksanaannya di daerah Bagan Datuk.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, di sini, hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Shahrul, Ahmad Faizal (PH-Chenderiang) berkata keputusan kerajaan negeri membatalkan sebahagian projek di daerah berkenaan adalah berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk kedudukan kewangan kerajaan serta keperluan sesuatu projek.

Tegas beliau kerajaan tidak meminggir mana-mana daerah di negeri ini.

“Semalam kerajaan negeri telah mengadakan satu sesi libat urus persediaan RMK-12 dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan kementerian telah berjanji untuk memberi perhatian kepada pembangunan di daerah-daerah yang kurang membangun di Perak,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");