Berita Hari Ini

3 Kategori Peminjam PTPTN, Tentukan Kaedah Bayaran

KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dikategorikan kepada tiga kumpulan bagi menentukan kaedah pembayaran dan mekanisme punitif bakal dikenakan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ia sebahagian daripada rangka strategi baharu yang menyaksikan peminjam diklasifikasikan kepada kategori patuh bayar, culas dan culas tegar.

“Patuh bayar ialah mereka yang konsisten menjelaskan hutang, manakala culas membabitkan individu dengan rekod pembayaran tidak konsisten.

“Culas tegar pula ialah individu yang langsung tidak membayar walaupun melakukan pinjaman (PTPTN) berbelas tahun. Semua inisiatif dan tindakan bakal dilakukan adalah lebih menyeluruh dan adil kepada peminjam sedia ada mahu pun bakal peminjam mengikut formula ini,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) yang mencadangkan PTPTN menggunakan semula kaedah kerajaan terdahulu diterajui Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kelestarian dana tabungannya pada masa depan.

Maszlee berkata, faktor yang menyebabkan penurunan jumlah bayaran balik merangkumi langkah memanjangkan tempoh sela kepada peminjam bagi menjelaskan hutang PTPTN dari enam bulan kepada 12 bulan selepas tamat pengajian seperti diumumkan pada Belanjawan 2018.

Selain itu, katanya, reaksi tunggu dan lihat sebahagian peminjam terhadap mekanisme baharu bayaran balik dikesan merencatkan kelestarian dana tabungan PTPTN.

“PTPTN juga mendapat kerjasama pelbagai agensi untuk mengemas kini daftar peminjam yang sebelum ini tidak berlaku, justeru kementerian percaya kutipan bayaran balik akan menjadi lebih baik selepas ini.

“Kita dapati sebelum ini maklumat tidak lengkap, sekali gus mengundang kesukaran untuk mengutip bayaran balik secara sistematik.

“Model PTPTN yang berfokus kepada pemberi pinjaman juga harus ditukarkan kepada penekanan keperluan menggalakkan rakyat membuat tabungan pendidikan tinggi anak mereka,” katanya.

Menerusi peralihan naratif itu, Maszlee berkata, jumlah tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) meningkat daripada RM381.67 juta, bagi tempoh Januari hingga Jun 2018, kepada RM421.43 juta untuk tempoh sama lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");