Berita Hari Ini

’40 Barang Kemas AS$13.6j Dihantar Ke Rosmah Gagal Dikesan’

Peguam firma dari Lebanon, Global Royalty Trading berkata polis hanya ada empat daripada 44 barang kemas yang dihantar kepada isteri bekas perdana menteri itu.

Selepas meneliti gambar 12,000 barangan kemas yang dirampas dari kediaman berkait Najib Razak, sebuah firma Lebanon mendakwa hanya empat daripada 44 barangan yang dihantar kepada bekas isteri perdana menteri Rosmah Mansor berada dalam jagaan pihak polis.

Peguam David Gurupatham mewakili firma barang kemas itu, Global Royalty Trading SAL berkata pihaknya sedang meminda kenyataan tuntutan berkaitan saman berjumlah RM60 juta daripada firma itu terhadap Rosmah pada Jun tahun lalu mengenai 44 barang kemas berkenaan.

“Kami mengatakan pada kenyataan tuntutan saman yang dipinda bahawa cuma empat barangan sahaja yang berada di bawah jagaan pihak polis.

“Empat barangan kemas itu ialah cincin bertatah berlian berbentuk pir bernilai AS325,000, cincin bertatah berlian berbentuk oval, gelang bertatah berlian berbentuk oval (AS$444,000) dan gelang bertatah berlian zamrud (AS$220,500),” katanya kepada Malaysiakini.

Peguam itu menjelaskan kenyataan tuntutan saman yang dipinda ini akan difailkan tidak lama lagi bagi memasukkan barangan kemas yang hilang bernilai AS$13,672,500.

Untuk rekod, 44 barangan kemas berkenaan bernilai AS$14,787,000. Barang kemas itu dihantar ke Rosmah pada Februari 2018, tiga bulan sebelum PRU14 yang menyaksikan suaminya disingkirkan daripada kekuasaaan.

Susulan pilihan raya, polis menyerbu rumah Najib dan beberapa kediaman lain berkaitan penyiasatan pasukan itu terhadap skandal 1MDB.

Dalam serbuan itu, selain rampasan barang kemas, beg tangan mahal, jam tangan dan kaca mata, wang tunai dalam berbagai mata wang serta kenderaan juga turut disita.

Terdahulu, Global Royalty Trading berkata barang kemas itu telah dihantar serta telah disahkan dan diterima syarat-syaratnya dalam Memorandum No 926 berkaitan barang kemas berkenaan.

Selanjutnya, Rosmah pada surat bertarikh 22 Mei tahun lalu mengesahkan dan memperakui telah menerima barangan kemas itu tetapi menyatakan ia sudah tidak lagi berada dalam jagaannya dan telah dirampas pihak berkuasa.

Pada Mei tahun ini, Gurupatham berkata anak guamnya memohon campur tangan dalam saman pelucuthakkan terhadap barangan yang disita.

“Kami sudah menulis kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk meminta butiran mengenai saman itu.

“Sebaik sahaja kami mempunyai butiran saman, kami akan campur tangan untuk mengesahkan sama ada 44 barang kemas itu termasuk di dalamnya.

“Sekiranya mana-mana bahagian daripada 44 barang kemas itu ada, kami akan memohon untuk campur tangan bagi mendapatkannya kembali kerana pelanggan kami adalah pemilik sah bagi barangan yang dirampas,” katanya.

Pada 7 Mei, AGC telah mengemukakan satu notis pelucuthakkan bagi beratus-ratus barang termasuk beg tangan mahal dan 27 kenderaan dirampas daripada bekas perdana menteri, Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Rosmah dan pihak polis.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");