Sukan Hari Ini

5 Faktor Kejayaan ‘Perang Utara’ Piala FA

KUALA LUMPUR: Pertembungan Final Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini bakal menyaksikan ‘Perang Utara’ membabitkan Perak Kedah dalam misi mereka memburu trofi pertama musim ini.

The Bos Gaurus dan Helang Merah nyata unggul selepas menempah tiket ke final dan berikut adalah lima faktor yang mampu membuatkan kedua-duanya pulang selaku juara:

LIMA FAKTOR PERAK BOLEH JADI JUARA

1. Jaga jaga trio samba!

Kekuatan Perak khususnya pada pusingan kedua musim ini ditunjangi trio Brazil, Ronaldo Henrique Silva, Raianderson Da Costa Morais serta Leandro Dos Santos yang disifatkan menjadi antara nadi pasukan itu.

Kehadiran Ronaldo nyata menambah sengat jentera serangan mereka selepas cemerlang meledak dua gol pada aksi sulung dan sudah tentu Mehmet Durakovic mengharapkan trio samba ini terus memperagakan rentak cemerlang pada aksi final Piala FA nanti.

2. Perang psikologi

‘Si Budak Jahat’ Leandro dos Santos adalah antara pemain yang terkenal dengan corak permainan yang keras dan licik. Dengan label ‘perosak permainan’ yang dilemparkan kepadanya sehingga membuatkan pemain lawan bergelut, Kedah perlu berhati hati supaya tidak terperangkap dengan drama serta pelbagai bentuk provokasi yang bakal dimainkan pemain tengah berusia 32 tahun itu.

Sekali termasuk perangkap, mungkin Kedah pulang dengan tangisan air mata.

3. ‘Yeop Hambat Sampai Dapat’

Slogan ‘Kejor Yeop Kejor’ tampak menjadi inspirasi buat Perak selepas mereka mampu ‘mengejar semula’ pasukan lawan yang berjaya dibuktikan pada pentas akhir Piala Malaysia 2018 dan separuh akhir kedua Piala FA 2019.

Perak bukanlah pilihan ke final selepas tumbang 1-3 pada aksi separuh akhir pertama namun mereka membuktikan gelaran sebagai Raja Kebangkitan semula apabila memenangi aksi kedua 3-0 sekali gus ke final.

Jadi adakah Perak sekali lagi akan membiarkan Kedah selesa sebelum bangkit memberikan tamparan hebat kepada lawan pada final kali ini?

4. Piala Malaysia sudah, ini masa Piala FA pula!

Perak terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mara ke perlawanan akhir pertandingan piala sehinggalah mereka layak ke final Piala Malaysia 2018.

Sembilan bulan kemudian, mereka beraksi di final Piala FA dan berjaya melakukan penampilan di pentas akhir kali kedua berturut-turut.

Jadi momentum itu sudah ada buat mereka apabila mereka masih lagi berada dalam suasana final yang mana pasti memberikan semangat luar biasa buat pemain The Bos Gaurus bagi menempuh aksi final kali ini.

5. Aura seorang pemenang

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Durakovic adalah antara jurulatih paling berjaya di Liga Malaysia (Liga M) dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Menyudahkan Misi ke-33 buat Selangor, merangkul Piala Malaysia bersama Perak dan kini peluang memenangi Piala FA.

Durakovic sudahpun membuktikan auranya selaku pemenang apabila dilabel sebagai pakar pertandingan piala. Memenangi Piala FA akan ‘mencantikkan’ lagi resume pengendali dari Australia itu dan diselangi dengan tuah Durakovic, mungkinkah Piala FA akan diarak sekitar Perak selepas ini?

 

LIMA FAKTOR KEDAH BOLEH JADI JUARA

1. Jangan biarkan Rodriguez, Bauman mengganas!

Jika Perak boleh berbangga dengan rentak ‘samba’ mereka, Kedah juga tidak kurang hebatnya terutama menerusi gandingan Fernando Rodriguez dan Jonatan Bauman.

Gandingan ini sudah meledak tujuh gol dalam saingan Piala FA dan pasti menjadi harapan utama Aidil Sharin Sahak untuk membolosi gawang Perak sekali gus menjelmakan kemenangan buat Kedah.

Awas pertahanan The Bos Gaurus, jangan biar dua pemain ini bergerak bebas kerana jika tidak, Perak mungkin pulang tangan kosong.

2. Magis di bangku simpanan

Kedah sudahpun memiliki barisan kesebelasan yang terbaik namun tumpuan pasti terarah pada bangku simpanan Kedah. Bagi aksi final seperti ini, kebiasaannya kita akan disajikan dengan ‘kisah dongeng’ di mana pasukan sedang bergelut dan pemain simpanan dimasukkan, kemudiannya dia meledak gol kemenangan sekali gus menjadi wira pasukan.

Melihat kepada pemain seperti Azammudin Akil, Zaquan Adha, Fadzrul Danel, Hidhir Idris dan Fayadh Zulkifli, mungkin ada daripadanya dapat membantu Kedah mengubah perlawanan sekaligus mendapatkan ‘status’ wira oleh penyokong Helang Merah.

3. Kedah menang ‘pertarungan statistik’

Statistik bukanlah kayu pengukur sebenar terhadap kemampuan sesebuah pasukan namun ia sedikit sebanyak memberi bayangan terhadap apa yang boleh ditunjukkan oleh pasukan itu.

Kedah nyata lebih baik dari segi statistik apabila berjaya menghasilkan 12 gol berbanding Perak (10 gol) namun kekurangannya adalah mereka dibolosi lebih satu gol berbanding Perak (6 gol).

Apapun, statistik ini mungkin memberikan sedikit kelebihan kepada Kedah selepas melihat output yang ditunjukkan pasukan itu berbanding pencabarnya.

4. Pra-final milik Kedah

Motivasi terbaik buat Kedah sebagai bekalan untuk aksi malam ini adalah apabila mereka ‘kebal’ selepas belum lagi tewas menentang Perak dalam dua aksi Liga Super musim ini.

Aksi pertama berkesudahan 1-1 sementara ‘Pra Final’ dimenangi Kedah yang meraih kemenangan 4-2 ke atas anak buah Mehmet Durakovic itu.

Aksi liga dan final sememangnya satu aksi yang berbeza namun dengan rekod tanpa kalah yang dilakar ini, mungkin ia dapat menjadi tonik terbaik buat pemain Kedah menjelang aksi penentuan malam ini.

5. Helang Merah biasa ‘berkepak’

Dalam tempoh lima tahun ini, Kedah mungkin antara pasukan paling banyak menempah tiket ke final. Tiga kali mara ke final Piala Malaysia berturut turut pada 2015, 2016 dan 2017 serta dua kali final Piala FA iaitu pada edisi 2017 dan tahun ini.

Tidak perlu mengira jumlah kejuaraan kerana berjaya ke final sudah cukup membuktikan ‘kegarangan’ mereka dalam kancah domestik.

Dengan kelompok pemain ketika ini, ramai daripadanya berada dalam pasukan yang beraksi di pentas final sebelum ini, jadi mungkin mereka sudah biasa dengan tekanan menggunung dan tidak lagi gugup untuk beraksi di pentas besar ini.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");