Berita Hari Ini

Abdul Hadi: PAS Dulu Sokong ISA, Kini Gesa Kekal Akta Hasutan

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948, tetapi meminta takrif hasutan untuk dibincangkan dengan lebih jelas supaya undang-undang itu tidak disalahgunakan.

“Kini kita mendengar desakan menghapuskan Akta Hasutan, maka janganlah sampai ke tahap semua hasutan dibenarkan.

“Tidakkah sepatutnya dibincangkan takrif hasutan dan apakah perkara-perkara yang dinamakan hasutan itu, bukan menghapuskan undang-undangnya,” katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Anggota parlimen Marang juga mengimbas gerakan mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam mempersoalkan kewajaran untuk menghapuskan Akta Hasutan.

“Kita pernah mengalami perjuangan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga seolah-olah ke tahap tidak perlu adanya undang-undang menyelamatkan negeri dan negara.

“Adakah kita boleh hanyut berfikir sampai ke tahap (mahu mansuhkan Akta Hasutan seperti ISA) itu?

“Adakah seruan dan janji menghapuskan Akta Hasutan yang kedengaran terkini sehingga ke peringkat boleh menghasut apa-apa sahaja? Kadang-kadang suaranya nampak sebegitu,” katanya.

Abdul Hadi menegaskan PAS menyokong penggubalan ISA pada 1960 walau pun kemudiannya pernah menjadi mangsa penyalahgunaan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara itu.

“PAS dahulu pernah menyokong ISA demi negara menghadapi ancaman komunis, walaupun PAS pernah menjadi mangsa penyalahgunaannya, ia adalah satu perkara yang lain,” jelasnya lagi.

Pendirian Abdul Hadi selari dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang meminta kerajaan tidak gopoh dalam mengambil ketetapan untuk menghapuskan Akta Hasutan hanya kerana beberapa kes yang berlaku muktahir ini.

Malah, Tuan Ibrahim berkata dengan keadaan semasa hari ini kerajaan masih memerlukan satu akta untuk mencegah perilaku yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan harus diteliti secara mendalam. Isu yang lebih kritikal ialah penyalahgunaan akta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai lalu mengesahkan kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan undang-undang baru.

Mengenai akta baru yang akan menggantikan Akta Hasutan, perdana menteri berkata, kerajaan kini dalam proses menyiapkannya.

“Kerajaan dalam status menyusun semula ayat-ayat dalam undang-undang tersebut,” katanya yang berkata proses itu akan selesai “secepat mungkin.”

Menghapuskan akta tertentu yang dianggap menekan rakyat adalah satu daripada janji diikrarkan PH dalam manifesto mereka menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Satu daripada akta yang dianggap menyekat kebebasan bersuara ialah Akta Hasutan.

Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin pada 9 Julai lalu menjadi tahanan terbaru yang dikenakan hukuman penjara mengikut Akta Hasutan.

Dia dihukum penjara selama setahun dan hukumannya berjalan serta-merta. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Julai lalu membenarkan hukuman Wan Ji ditangguhkan sehingga selesai proses rayuan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");