Berita Hari Ini

Agong: Pemberita Dulu, Kini Bina Keperibadian Saya

Menjelang Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap petugas media daripada pelbagai organisasi media, untuk mengadakan wawancara khas bersama Seri Paduka.

Sesuatu yang jarang-jarang berlaku, organisasi media cetak dan elektronik negara dan bukan hanya media rasmi, berpeluang menghadap kedua-dua Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong untuk sesi wawancara sejak minggu kedua bulan ini, sebagai sebahagian liputan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Keterbukaan dan kesediaan Seri Paduka berdua untuk menerima menghadap petugas media pastinya satu peluang berharga, untuk mengenali dan mendekatkan institusi diraja kepada seluruh rakyat.

Sultan Abdullah, yang tidak asing dan mesra media sejak menjadi Tengku Mahkota Pahang lagi, menzahirkan penghargaan kepada media dan menyifatkan keperibadian yang ada pada dirinya hari ini sedikit sebanyak dibentuk pengamal media di negara ini.

Sultan Abdullah bertitah kehidupannya mula ‘mencuri’ tumpuan media dan rakyat jelata sejak Seri Paduka dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada usia 15 tahun lagi.

“Saya amat berterima kasih kepada semua media. Ya, awak telah bina keperibadian saya. Ini sesuatu yang ingin saya kongsikan dan saya amat berterima kasih.

“Pemberita-pemberita dahulu, pemberita kini, awak telah bina keperibadian saya. Saya begitu berterima kasih,” titah Seri Paduka semasa wawancara khas sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana negara baru-baru ini.

Menjelaskan bahawa baginda sebenarnya bukanlah seorang ‘media savvy’ ditambah lagi dengan sifatnya yang pendiam, namun disebabkan posisinya sebagai anak raja, dan kini sebagai ketua utama negara Sultan Abdullah bertitah, berhadapan dengan media adalah suatu perkara yang perlu dihadapi baginda.

“Sekarang fasa lain pula, (kini) menjadi pemimpin tertinggi di negara. Perwatakan saya (mungkin) lain sedikit… percakapan saya mungkin lain sedikit dan di mana saya boleh berkongsi pandangan, saya akan berkongsi secara formal.

“Sebab saya terbuka kepada semua pandangan dan kritikan. Itu lumrah hidup dan lumrah posisi yang saya pegang sekarang,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada pengamal media di negara ini yang sering membuat liputan tentang aktiviti yang dilakukan oleh Seri Paduka sejak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Daulat Tuanku.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");