Berita Hari Ini

Ajal Dihempap Bongkah Batu

IPOH- Pemandu jengkaut maut dihempap bongkah batu ketika melakukan kerja membersihkan letupan kuari di kawasan kuari di Mukim Sungai Raya, Keramat Pulai, Ipoh hari ini.

Mangsa Loi Thiam Fatt, 56, maut di lokasi akibat parah dihempap bongkah batu yang jatuh dari kawasan bukit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kerja meletupkan kuari itu dijalankan Khamis lalu dan mangsa menjalankan kerja membersihkan batu kuari yang dipecahkan itu.

Katanya, mangsa menjalankan kerja membersihkan batu kuari itu 7 pagi hari ini menggunakan jengkaut untuk dimuatkan ke dalam lori sebelum secara tiba-tiba sebuah batu besar dari atas bukit jatuh lapor HMetro.

“Siasatan mendapati mangsa sudah mengisi muatan batu kuari pada dua lori kuari untuk dibawa keluar, ketika mangsa sedang menolak lagi batu, tiba-tiba batu besar kuari dari atas bukit jatuh dan terus menghempap serta menimbus jengkaut.

“Mangsa disahkan maut di lokasi selepas kerja mengeluarkan batu kuari itu dijalankan bomba,” katanya.

Mohd Ali berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak difahamkan sudah bekerja di syarikat kuari itu tiga tahun dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai pemandu jengkaut.

“Siasatan mendapati pemilik kuari mempunyai lesen dari Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) Perak untuk skim kuari dan kebenaran kerja peletupan serta lesen menggunakan bahan letupan dari Bahagian Pelesenan IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Perak.

“Operasi menyelamat dijalankan tiga pegawai dan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, enam anggota Balai Polis Simpang Pulai dan pekerja kuari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan 9.47 pagi dan bergegas ke lokasi untuk menjalankan kerja mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berada di bawah runtuhan batu besar dan bomba menghadapi sedikit kesukaran kerana jentera tidak dapat memasuki kawasan itu kerana bentuk muka buminya.

“Namun dengan bantuan pengurusan kuari, mayat mangsa berjaya dibawa keluar sebelum operasi ditamatkan 12.05 tengah hari,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");