Membawang Hari Ini

‘Bagaimana Nak Hidupkan Semula Ustaz Hamadi?’

KUALA LUMPUR: Pengarah drama Nur, Shahrulezad Mohameddin, mengakui berada dalam dilema bagi memenuhi permintaan peminat untuk menghidupkan kembali watak Ustaz Hamadi apabila naskhah berkenaan diangkat ke layar perak.

Pada masa sama, dia yang juga penerbit drama rantaian popular berkenaan perlu meyakinkan pelakon watak terbabit, Azhan Rani, untuk menjayakan semula karakter dibenci ramai itu.

“Memang Azhan ada bertanya, bagaimana kami hendak menghidupkan watak itu sedangkan Ustaz Hamadi sudah mati dalam musim kedua Nur?

“Jadi, saya memang perlu berjumpa Azhan bagi meyakinkan dirinya, dengan apa cara sekalipun, berhubung perkara itu. Ketika ini, dia berada di Sabah kerana terikat dengan pementasan teater, di sana,” katanya kepada BH Online.

Menurut Shahrulezad, pada dasarnya pihak produksi, Radius One Sdn Bhd, boleh sahaja menukar jalan cerita dan menghidupkan semula watak terbabit.

“Malah, kami turut menerima beberapa cadangan lain untuk terus mewarnai lagi watak Ustaz Hamadi, termasuk mewujudkan karakter lain. Perbincangan dan pertemuan lanjut memang perlu dibuat segera, bukan dengan Azhan sahaja, sebaliknya bersama pelakon lain juga,” katanya.

Baru-baru ini, Shahrulezad mengumumkan bakal mengangkat drama lakonan Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar dan Azhan itu ke layar lebar, tahun depan. Keputusan itu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat, dengan rata-rata mahukan watak jahat berkenaan turut ditampilkan sama dalam versi filem.

Kata Shahrulezad, apabila berdepan situasi sedemikian, ada kala dia tertanya-tanya sendiri, apakah keputusan untuk mengangkat naskhah itu ke layar perak wajar atau sebaliknya.

“Selama ini, saya boleh berkarya dengan agak tenang kerana drama rantaian memakan masa yang panjang. Dalam dua musim, pelbagai plot boleh diwujudkan untuk terus menambahkan sisi dramatik. Namun, bagi filem, semuanya perlu dipadatkan untuk tayangan selama 90 minit. Memang nak pecah kepala jadinya.

“Bagaimanapun, mahu atau tidak, saya tetap akan teruskan projek berkenaan dan ambil semua pengalaman ini sebagai cabaran baharu dalam berkarya,” katanya.

Bakal memulakan penggambaran pada Mac tahun depan, filem Nur akan diterbitkan Radius One dengan kerjasama Primeworks Studios.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");