Membawang Hari Ini

Baggio Tak Sanggup Hidup Tagih Simpati

KUALA LUMPUR: Melihat ramai insan seni berdepan nasib malang, malah terpaksa mengharap belas simpati masyarakat pada usia emas mengingatkan vokalis kumpulan Damasutra, Baggio supaya tidak terus bergantung pada dunia nyanyian dan lakonan.

Langsung tidak berniat memandang rendah dunia yang pernah memperkenalkan namanya, Baggio, 48, berkata dia tidak berputus asa mencari peluang perniagaan.

Mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ketika negara berdepan kemelesetan ekonomi pada 1997, sejak itu, kata Baggio, dia berusaha mengubah nasib dan masa depan.

“Kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon ada pasang surutnya. Saya tidak sanggup pada penghujung hidup nanti, terpaksa merayu dan meminta belas ihsan orang lain.

“Saya bukan mahu menghina sesiapa, tetapi kadang kala kita tiada pilihan. Saya takut jika nanti hidup terumbang-ambing. Justeru, ketika masih sihat, saya berusaha mengubah nasib demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Biarpun pernah berdepan kegagalan, Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun berkata, dia tidak pernah berhenti berusaha menggapai impian.

Bermula dengan membuka pusat servis kereta dan motosikal di Rawang, Selangor, Baggio seterusnya mengusahakan restoran, namun hanya bertahan dua tahun disebabkan masalah pekerja.

“Saya pernah menjadi ejen insurans selama empat tahun, seterusnya berniaga kopi yang memerlukan modal besar. Pelbagai jenis perniagaan saya usahakan untuk mencari rezeki halal.

“Berniaga memerlukan kepandaian dalam merangka strategi pemasaran. Jika tidak, pasti tersungkur,” kata penyanyi yang popular dengan lagu berhantu seperti Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Antara Sutera & Bulan, Asyik, Sesat Dalam Rindu, Sufi dan Seribu Bayangan.

Terbaru, bapa kepada empat cahaya mata itu dipilih sebagai duta kedai emas, Nazrin Jewellery di Pusat Dagangan Banting, Selangor, yang dibuka sejak Februari lalu.

Penyanyi kelahiran Batu Gajah, Perak itu berkata, dia sudah lama menerima lamaran pihak terbabit, tetapi ia tertangguh disebabkan terikat dengan promosi lagu Nama Mu Di Hati, kolaborasi bersama Ameng dan Nizam Laksamana, awal tahun ini.

“Kebetulan, pengurus syarikat itu yang juga adik angkat saya sudah mengendalikan perniagaan emas sejak lapan tahun lalu. Besar harapan saya dapat membuka kedai emas suatu hari nanti. Niat saya hanya satu iaitu untuk keselesaan masa depan anak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");