Panasnya Hari Ini

Bicara Kes Rasuah Rosmah, Rizal Mula Februari Depan

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah membabitkan projek solar di sekolah pedalaman Sarawak bernilai RM5 juta.

Rosmah, 68, mengekalkan pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Mahkamah juga membenarkan kes itu dibicarakan bersama dengan satu lagi kes yang dituduh bersama bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor, sebelum ini.

Pada 30 Mei lalu, Mohamed Zaini menetapkan perbicaraan kes solar membabitkan Rosmah dan Rizal ditetapkan selama 32 hari tahun depan.

Tarikh ditetapkan adalah 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13 Februari, 17 hingga 20 Februari, 9 hingga 12 Mac, 6 hingga 9 April, 13 hingga 16 April, 20 hingga 23 April dan 27 hingga 30 April.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 10 Januari 2020 untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Rosmah menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion, secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Persint 10, Putrajaya, pada 20 Disember 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November lalu, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal pula mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berjumlah RM5.5 juta berhubung projek yang sama.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farizul Hassan Bakri; peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir mewakili Rosmah manakala Rizal diwakili peguam Mohd Hezri Shaharil lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");