Berita Hari Ini

Bicara SRC: Ahmad Husni Dijangka Beri Keterangan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II dan bekas Pengurus Perhubungan AmBank antara saksi yang dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi Datuk Seri Najib Razak bermula esok.

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Joanna Yu antara nama yang sering disebut saksi sebelum ini melalui keterangan yang mereka kemukakan dalam perbicaraan kes berprofil tinggi itu.

Minggu lalu, Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan Datuk Fauziah Yaacob iaitu saksi ke-53 pendakwaan, selesai memberikan keterangan, bermakna saksi baharu akan dipanggil pada prosiding kali ini.

Melalui keterangan saksi sebelum ini, menyatakan bahawa Ahmad Husni yang ketika itu Menteri Kewangan II menandatangani surat Jaminan Kerajaan bagi pinjaman pertama RM2 bilion yang dibuat SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pada tahun 2011.

Saksi itu, bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan & Aktuari, Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad, berkata Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi surat jaminan pinjaman tambahan RM2 bilion pada 2012, bagaimanapun dibawa terus kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan untuk pertimbangan dan tandatangan.

Saksi itu berkata, prosedur biasa Kementerian Kewangan bagi mana-mana MJM, ialah ia dikemukakan kepada Menteri Kewangan II untuk pertimbangan dan tandatangan.

Melalui keterangan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, Memo dan MJM bagi suraf jaminan pinjaman kedua itu disokong Ahmad Husni, sebelum dibawa kepada Perdana Menteri untuk dipersetujui.

Sementara itu, mahkamah turut diberitahu bahawa terdapat nama ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, dalam transkrip perbualan melalui telefon Blackberry Joanna yang dirampas pihak berkuasa.

Ia dikemukakan melalui keterangan Pegawai Forensik Digital Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Negara (BNM) Shuzairizman Shuib. Joanna pegawai yang mengendalikan akaun peribadi Najib di Ambank.

Melalui keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling, saksi dicadangkan peguam bela, bahawa perbualannya dengan Joanna yang merujuk seorang individu sebagai ‘kawan’, sebenarnya Jho Low.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");