Berita Hari Ini
Like

‘Buanglah Kalau Berani’

July 14, 2019
344 Views
0 Comments
2 minutes read
‘Buanglah Kalau Berani’

Anggota Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz mencabar pucuk pimpinan parti itu memecatnya jika kurang senang dengan kritikannya berhubung pelantikan Najib Razak selaku pengerusi lembaga penasihat BN.

“Saya tak gentar, nak buang, buanglah, saya tak pernah serang presiden (Umno) pun.

“Kalau hendak hukum saya dan (Ahli Parlimen Rembau) Khairy Jamaluddin kerana kami sayangkan parti, hukumlah kalau hendak tengok jadi macam dulu.

“Buang (Mohd) Shafie Apdal buang Muhyiddin Yassin, kita ingat mereka tak ada pengaruh tapi tengoklah,” katanya merujuk kepada pemecatan dua pemimpin itu dari Umno oleh Najib ketika menjadi presiden parti.

Nazri berkata demikian ketika sidang media bersama Khairy selepas mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas, hari ini, yang turut disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook.

Nazri dan Khairy masing-masing sebelum ini dilihat tidak senang dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi penasihat BN.

Khairy mengakui bahawa dia tidak gembira dengan pelantikan Najib, sementara Nazri menyifatkan ia sebagai langkah ke belakang.

BN pada 9 Jul lalu, mengumumkan pelantikan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN.

Bagaimanapun, Nazri dan Khairy dalam sidang media itu menegaskan yang mereka tidak akan sama sekali meninggalkan parti itu.

Ketika sidang media itu, Khairy turut bersuara dengan mendakwa bahawa dia menerima banyak tawaran untuk lompat parti, namun memilih untuk tetap setia bersama Umno.

“Bukan satu, dua, banyak tawaran kami terima, tapi sampai hari ini masih lagi bersama Umno,” kata Khairy.

‘Bossku hanya untuk budak-budak’

Sementara itu, Nazri menyifatkan kempen “bossku” tidak menyumbang kepada kemenangan Umno dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

Sebaliknya, kata Nazri, kempen “bossku” hanyalah program budak-budak yang tidak boleh diterjemahkan kepada undi.

“Bossku bukan parti politik, (ia lebih kepada) budak-budak untuk seronok tak boleh terjemahkan pada undi, tiga PRK bukan ‘bossku’ jadi faktor utama, itu rakyat bangkit,” jelasnya.

Nazri juga menyarankan Najib menjarakkan diri dari parti, sekiranya bekas presiden Umno itu sayangkan parti.

“Dia kata (tuduhan) fitnah, fitnah apa benda sudah ada pendakwaan, jawab di mahkamah bukan jawab di jalanan. Serahkan parti kepada pemimpin-pemimpin baru,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.