Berita Hari Ini

DAP Tunggu Siasatan Selesai Sebelum Putus Tindakan Pada Choo Kiong

KUALA LUMPUR: DAP akan memutuskan tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang dikaitkan dengan dakwaan merogol pembantu rumahnya, selepas siasatan polis selesai.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata DAP Perak diminta menguruskan isu membabitkan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak itu, dan melaporkan kepadanya.

Katanya, pimpinan negeri Perak juga bersetuju untuk menunggu sehingga siasatan polis selesai, sebelum memutuskan kedudukan Choo Kiong dalam kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Guan Eng enggan mengulas ketika ditanya sama ada Choo Kiong perlu bercuti sementara menunggu siasatan itu selesai.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar Perak (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu), dan kami di peringkat parti atau pimpinan negeri, akan menunggu hasil siasatan pihak polis.

“Mari kita tunggu sebelum keputusan dibuat. Itu yang kita putuskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan DAP terhadap Choo Kiong yang berdepan dakwaan merogol pembantu rumahnya, termasuk sama ada ADUN Tronoh itu perlu bercuti.

Semalam, Choo Kiong dalam satu kenyataan menafikan dakwaan dirinya merogol pembantu rumah serta menyifatkannya sebagai tuduhan palsu dan tidak berasas, selain mengaku terkejut dan keliru dengan tuduhan berkenaan.

Bagi membersihkan dirinya, Choo Kiong sudah pun memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis, termasuk membawa saksi untuk membantu siasatan bagi menunjukkan bahawa pertuduhan itu adalah fitnah semata-mata.

Selasa lalu, media melaporkan seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dicabul majikannya yang juga seorang EXCO Kerajaan Perak.

Mangsa yang berusia 23 tahun itu membuat laporan polis Isnin lalu selepas mendakwa dicabul majikannya sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dilaporkan berkata, pembantu rumah warga Indonesia itu kini ditempatkan di lokasi selamat sehinggalah kertas siasatan mengenainya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");