Perak Hari Ini

Derita Empat Beradik Yatim Piatu Selepas Kematian Ibu

BAGAN SERAI – “Semenjak ibu mereka meninggal dunia, setiap hari anak-anak ini menangis rindukan ibu mereka.

“Hampir setiap hari juga mereka mengajak saya menziarahi kubur ibu mereka”, kata Zainab Yusof, 62, nenek kepada empat beradik berusia lima hingga sembilan tahun di Alor Pongsu, di sini, yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu mereka beberapa minggu lalu.

Zainab berkata anaknya, Imazatul Ismail,39, yang juga ibu kepada Nurliana Mohd Suhaimi, 9, Mohd Aliff, 8, Nur Umairah, 7 dan Elisya Qaisara, 5, meninggal dunia pada 11 Julai lalu akibat penyakit Tibi yang dialami semenjak berpindah di sini pada tahun 2017.

“Sebelum ini anak arwah Imazatul tinggal di Balik Pulau, Pulau Pinang dan pulang ke sini pada tahun 2017 selepas berpisah dengan suaminya.

“Semenjak dari itu arwah mula sakit dan tidak dapat bekerja sehinggalah dia meninggal dunia.

“Kini makcik tak tahu bagaimana nak urus empat beradik ini cucu tambahan pula kami tiada punca pendapatan atau bantuan dari mana-mana kecuali bergantung dengan duit pencen bulanan arwah suami sebanyak RM 1,000,” katanya ditemui media selepas menerima kunjungan Pusat Khidmat Parlimen dan Sahabat Parlimen Bagan Serai, malam tadi.

Hadir sama Pengarah Strategi Parlimen Bagan Serai Noor Azman Ghazali mewakili Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Menurut Zainab lagi, di peringkat usianya begitu dia bimbang tidak dapat menguruskan empat cucunya yang kesemuanya masih bersekolah.

“Dahulu semua ibu mereka yang uruskan, tetapi sekarang makcik yang akan galas tanggungjawab ibu mereka.

“Dengan peringkat umur sebegini makcik tidak tahu macam mana nak urus dan sekarang sedang belajar menguruskan hal persekolahan mereka termasuk aktiviti dan jadual sekolah mereka,” katanya.

Zainab berkata dia berharap ada pihak yang sudi tampil membantu dan menguruskan hal-hal pembelajaran serta kos penjagaan empat beradik ini.

Dalam pada itu Pengarah Strategi Parlimen Bagan Serai Noor Azman Ghazali berkata, kisah empat beradik itu amat menyedihkan dan mendapat simpati pihaknya.

Menurutnya pihak Parlimen Bagan Serai bersimpati dan akan membiayai sebarang perbelanjaan sekolah dan kehidupan empat beradik ini.

“Sewaktu kunjungan awal parlimen, anak ketiga iaitu Nur Umairah, 7,menangis teresak-esak berikutan terlalu rindu dan terkenangkan saat manis ibunya menyuapkan ayam goreng KFC kepadanya dan adik beradik lain.

“Tersentak dengan jawapan itu, malam ini Pusat Khidmat dan Sahabat Parlimen menunaikan hajat mereka dan membawa set ayam KFC kepada keluarga ini berserta alat-alat tulis kepada mereka.

“Selain itu pasukan kami akan turut menyumbangkan beberapa buah basikal dan akan turut meraikan anak-anak ini ke Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah Noor Azman lagi pihaknya turut mengetengahkan kisah empat beradik ini kepada beberapa agensi dan badan korporat dan mereka turut menyatakan hasrat untuk membantu keluarga ini.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan bantuan terus ke akaun Maybank 158305007669 atas nama Zainab Yusof atau menghubungi keluarga ini di talian 010-801 9373.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");