Berita Hari Ini

Dewan Negara Lulus Usul Ahli Parlimen Isytihar Harta

KUALA LUMPUR – Usul mewajibkan semua anggota pentadbiran dan ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing diluluskan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong diluluskan menerusi undi belah bahagian, selepas mendapat sokongan 34 daripada 57 Ahli Dewan Negara yang mengundi.

Terdahulu, ketika membentangkan usul itu, Liew berkata pengisytiharan harta hendaklah dibuat oleh Ahli Dewan Negara termasuk suami atau isteri, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun dan hendaklah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Negara dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya hanya butiran pengisytiharan harta Ahli Dewan Negara yang akan dipaparkan di portal SPRM selama tiga bulan.

Ketika menggulung perbahasan usul itu, Liew berkata setakat ini tidak timbul isu keselamatan susulan pengisytiharan harta oleh menteri dan timbalan menteri yang dilaksana dan dipaparkan di portal SPRM, sejak Oktober tahun lepas.

“Saya pun sudah mengisytihar harta dan ia dimasukkan dalam portal SPRM. Isu keselamatan saya dan keluarga tidak wujud sama sekali dan sehingga kini ia tidak menjejaskan keselamatan.

“Kes saya, saya diwariskan beberapa harta daripada mendiang ayah dan ibu saya, jadi nilai harta itu dari tahun ke tahun meningkat sehingga jutaan. Tetapi itu hanya nilai tanah, daripada segi tunai itu saya tidak ada, itu hanya menunjukkan nilai aset yang dimiliki, bukan kedudukan kewangan wakil rakyat pada waktu itu,” katanya.

Menurut Liew, pihaknya juga tidak menerima aduan pembocoran maklumat atau gangguan daripada pihak ketiga susulan pemaparan pengisytiharan harta anggota kabinet di portal SPRM, katanya yang menjamin kerahsiaan maklumat yang diberikan.

Justeru beliau meminta ahli Dewan Negara tidak khuatir akan transformasi yang dilakukan kerajaan kini dan menganggap pengisytiharan harta itu hanyalah bagi memastikan ketelusan maklumat sekali gus membina negara yang bersih dan bebas rasuah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");