GOPENG: Kerajaan negeri menerusi Pejabat Ahli Parlimen Gopeng akan membina sebuah dewan orang ramai di Kampung Lawan Kuda bagi menyelesaikan masalah ketiadaan dewan untuk penduduk melakukan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye berkata, sebelum ini terdapat sebuah dewan orang ramai di kawasan tersebut tetapi ia ditukarkan menjadi sebuah pasar pada tahun 1992, jadi buat masa sekarang penduduk di kawasan tersebut tidak mempunyai dewan untuk melakukan aktiviti penduduk setempat.
“Kita telah berusaha untuk mendapatkan dewan bagi penduduk di kawasan tersebut dan kita telah mengenal pasti tapak untuk dibangunkan dewan itu.
“Kita menjangkakan pembinaan akan bermula pada tahun hadapan dengan kos anggaran sebanyak RM 300,000 hingga RM 500,000.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Gopeng, Bandar Cyber, hari ini.
Ujarnya lagi dewan tersebut penting untuk dijadikan tempat perjumpaan umum dengan tujuan sosial, keraian dan rekreasi.
“Tanpa dewan, ia akan menyukarkan komuniti di sesebuah kawasan untuk menjalankan aktiviti berbentuk kemasyarakatan yang akan memupuk semangat perpaduan dan kejiranan kerana boleh dikatakan populasi penduduk di kawasan tersebut adalah besar dengan anggaran seramai 40,000 hingga 50,000 orang.
“Saya mengharapkan dengan pembinaan dewan tersebut ia akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut kerana ia adalah hak milik pengunaan awam terutamanya penduduk di Kampung Lawan Kuda,” katanya.