Berita Hari Ini
Like

Dr Mahathir Dijangka ‘Dijamu’ Soalan Mengenai Prestasi MAB Pada Hari Lahirnya

July 10, 2019
238 Views
0 Comments
1 minute read
Dr Mahathir Dijangka ‘Dijamu’ Soalan Mengenai Prestasi MAB Pada Hari Lahirnya

KUALA LUMPUR – Isu prestasi syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB) merupakan antara yang dibangkitkan anggota Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) dijadual mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk memulihkan prestasi MAB serta sejauh manakah keberkesanannya sehingga ke hari ini, lapor Bernama.

Soalan pada sesi soal jawab lisan berkenaan dijangka dijawab sendiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-94 pada hari ini.

Semalam (Selasa), Dr Mahathir berkata kerajaan sudah menerima empat tawaran daripada syarikat yang berminat untuk mengambil alih MAB, namun belum ada sebarang keputusan dibuat berkenaan tawaran pengambilalihan itu, dan kerajaan perlu meneliti kesemua cadangan yang dikemukakan.

Turut dijangka menarik perhatian ialah soalan Awang Hashim (PAS-Pendang) kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengenai kesan ke atas ekonomi Malaysia ekoran risiko ketidaktentuan persekitaran global khususnya antara Amerika Syarikat dan China mutakhir ini.

Sidang Dewan Rakyat hari juga dijangka membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat (Pindaan) 2019, bertujuan meminda Akta Syarikat 2016.

Komen & Pendapat

Comments are closed.