Tertuduh ialah Muhammad Rozaidi Azmi, 36, yang berdepan 10 bertuduhan membabitkan suapan RM7,100; Khairol Azri Abd. Rahman, 32, (lapan pertuduhan, RM4,350) dan Mohd. Ependi Hassan, 33, (enam pertuduhan, RM2,350).

Turut didakwa ialah seorang wanita, Saidatul Hanim Sabudin, 33, (sembilan pertuduhan, RM2,350; Mohamad Noor Ibrahim, 44, (lima pertuduhan, RM4,200) dan V. Chandrasegaran, 49, (satu pertuduhan, RM1,200).

Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut pertuduhan utama, kesemua tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn. Bhd. dan TSR Transport Sdn. Bhd. sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit (Sam Lian dan Tyre Sdn. Bhd.) yang mungkin
melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi setiap pertuduhan, mereka turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tiga buah bank di Bukit Mertajam di sini di antara Mac 2015 hingga Julai 2018.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri, manakala kesemua tertuduh kecuali Chandrasegaran diwakili peguam Datuk Naran Singh.

Lima tertuduh kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000, manakala Chandrasegaran dibenar diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan masing-masing seorang penjamin selain pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Kes itu akan disebut semula pada 12 September depan.

Semalam, di mahkamah sama enam anggota JPJ mengaku tidak bersalah selepas didakwa dengan 63 pertuduhan menerima suapan yang keseluruhannya berjumlah RM73,600 daripda syarikat sama.

Difahamkan, enam lagi akan didakwa di mahkamah sama esok lapor Kosmo Online.