Berita Hari Ini

Farhash Wafa Ditahan Ikut Undang-Undang

MELAKA: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan penahanan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dilakukan mengikut prosedur siasatan dan undang-undang, malah menafikan wujud penganiayaan.

Abdul Hamid berkata, pasukan penyiasat berhak membuat keputusan memanggil mana-mana individu yang ditahan, direman untuk tujuan soal siasat bagi melengkapkan kertas siasatan dan tindakan itu tidak wajar dipersoalkan.

“Mana-mana individu perlu dipanggil beri keterangan, akan dipanggil, yang ditahan juga, itu hak pegawai polis mahu jalankan siasatan yang dibenar ikut undang-undang.

“Saya tidak beri laluan bagi mereka bertindak sesuka hati atau menganiaya orang, saya tidak melihat (penahanan) ini tidak adil dan jika ada dakwaan itu, ia adalah tuduhan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang mengulas tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan pemimpin berkenaan bagi membantu siasatan kes penyebaran video lucah dikaitkan seorang Menteri baru-baru ini.

Farhash Wafa semalam mempersoalkan penahanan remannya.

Terdahulu Abdul Hamid merasmikan penutupan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) ke-90 tahun 2019 di, sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan (PDRM), Datuk Abd Rahim Jaafar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, Datuk Azisman Alias dan Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Abdullah.

Mengulas gesaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mencabarnya untuk mengambil tindakan ke atas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana membuat laporan palsu, Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, laporan polis itu juga dibuat terhadap Lokman berikutan tuduhan terhadapnya sebagai Ketua Polis Negara menipu.

“Nak tuduh saya macam-macam, biarlah kecuali dia (Lokman) tuduh saya sebagai Ketua Polis Negara menipu, itu saya tidak boleh terima.

“Pihak kita sudah buat laporan polis dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Mengulas perkembangan sama berkaitan video lucah berkenaan, Abdul Hamid menyerahkan pasukan siasatannya selesaikan siasatan itu sehingga arahan diterima daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut lapor BHarian.

“Isu ini mudah, biarlah kami selesaikan proses siasatan, saya tidak cakap muktamad tetapi jika selesai dengan bukti dan keterangan, kita serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tentukan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");