Perak Hari Ini

Geng Homestay Tumpas

IPOH: Kegiatan sebuah kumpulan yang telah melakukan kira-kira 19 kes pecah rumah di sekitar Ampang Baru, Tambun dan Kampung Gunung Rapat akhirnya ditumpaskan oleh pihak polis.

Sindiket yang dikenali dengan nama ‘Geng Homestay’ itu aktif dalam aktiviti jenayah berkenaan sejak Januari tumpas dalam tiga serbuan berasingan pada 24 dan 27 Jun lalu di sekitar Taman Cempaka, di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby berkata modus operandi yang dilakukan oleh kumpulan ini agak berbeza kerana mereka menjadikan rumah inap atau homestay sebagai sasaran.

“Mereka akan menelefon tuan rumah dan terus membayar deposit untuk memasuki rumah inap tersebut dan setelah diberikan kunci untuk menginap disitu, habis semua barang-barang di dalam rumah dicuri.

“Mereka menggunakan dokumen palsu bagi tujuan penyewaan inap desa tersebut selain mereka juga sangat aktif dalam kegiatan pecah rumah dan curi dalam bangunan pada tahun ini di kawasan sekitar.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Balai Polis Ampang Baru, hari ini.

Ujarnya lagi kesemua suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 42 tahun itu didapati tidak bekerja dan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Tiga daripada mempunyai rekod jenayah lampau dalam beberapa kes termasuk dadah dan curi, malahan kesemuanya juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Selain itu, saya ingin menyeru kepada semua pemilik inap desa supaya mendapatkan dokumen yang sah daripada penyewa dan jangan terburu-buru untuk menyewakan premis.

“Kadang-kadang mereka agak tergesa untuk mendapatkan bayaran dan mereka tidak peduli siapa yang menyewa premis mereka,” katanya.

Ekoran penangkapan geng tersebut, pihak polis berjaya merampas 71 barang yang dipercayai dicuri daripada rumah-rumah yang mereka pecah masuk dan semua barangan tersebut akan mereka jual bagi mendapatkan wang.

Rata-rata barang yang dicuri terdiri daripada barangan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, televisyen, dapur elektrik, kipas siling, pembesar suara termasuk sebuah kereta jenis Proton Wira dengan nilai anggaran keseluruhan bernilai RM 40,000.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");