PUTRAJAYA: Harga runcit petrol RON97 naik 10 sen daripada RM2.57 kepada RM2.67 seliter, manakala RON95 dan diesel kekal, masing-masing RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini, memaklumkan harga bahan api itu ditetapkan bagi tempoh 20 hingga 26 Julai ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Menurut kenyataan itu, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama, masing-masing sepatutnya RM2.37 seliter.
“Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 20 hingga 26 Julai berjumlah RM179.97 juta lapor BHarian.