Berita Hari Ini

Hari ke-41: ‘Saya Kadangkala Hubungi Jho Low Berkenaan Akaun Najib’

Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-41 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan:


Joanna Yu: Saya kadangkala hubungi Jho Low berkenaan akaun Najib

10.30 pagi – Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping berkata beliau kadangkala akan menghubungi ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, berhubung arahan mengenai akaun bank Najib Razak.

Dalam keterangannya beliau berkata keadaan itu berlaku apabila beliau tidak dapat menghubungi orang yang diberi kuasa, Nik Faisal Ariff Kamil.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan utama oleh DPP V Sithambaram, Joanna berkata, beliau hanya menerima arahan bertulis, yang kemudian dipanjangkan kepada cawangan bank dari Nik Faisal kerana dia adalah orang yang diamanahkan untuk akaun tersebut.


Nik Faisal tidak mempunyai akses kepada akaun Najib

10.20 pagi – Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping memberitahu mahkamah bahawa hanya Najib dibenarkan mengeluarkan cek daripada akaun semasanya.

Dalam keterangannya beliau berkata Nik Faisal Arif Kamil, yang diberi mandat  atas akaun Najib, tidak dapat mengeluarkan cek bagi pihak bekas perdana menteri itu.

Yu berkata Nik Faisal juga tidak dapat mengeluarkan atau mengambil wang daripada akaun Najib.


Saya tiada akses langsung kepada akaun AmBank Najib – Joanna Yu

10.15 pagi – Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping berkata beliau tidak mempunyai akses langsung kepada akaun bekas perdana menteri, Najib Razak.

Semasa pemeriksaan utama oleh DPP V Sithambaram, saksi ke-54 itu mengatakan beliau tidak memiliki akses itu selaku pengurus perhubungan, dan beliau hanya bertindak sebagai penghubung.

Sithambaram: Bolehkah kamu mengakses akaun pelanggan Najib dari terminal komputer kamu?

Joanna: Tidak, kami (pengurus perhubungan) perlu menghubungi cawangan (cawangan Jalan Raja Chulan di mana akaun semasa dan simpanan Najib dibuka). Ia adalah keistimewaan pelanggan.


Ambank ambil kira kedudukan Najib

10 pagi – Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping memberitahu mahkamah bahawa bank itu tidak mengenepikan cek yang dikeluarkan oleh Najib walaupun akaun terlebih keluar (overdrawn).

Ketika memberi keterangan semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwa, beliau mengatakan ini disebabkan status dan kedudukan Najib ketika itu sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Beliau menambah bank itu akan menghubunginya dan beliau kemudian akan menghubungi Nik Faisal Ariff Kamil, yang merupakan pemegang mandat untuk akaun Najib, untuk memaklumkan kepadanya untuk segera memperbetulkan akaun ‘overdrawn’ berkenaan.


‘Jho Low hubungi saya mengenai pembukaan akaun bank Najib’

9.34 pagi: Saksi ke-54 yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu mengatakan ahli perniagaan Jho Low menghubungi beliau pada awal tahun 2011 berkenaan pembukaan akaun bank semasa dan simpanan Najib Razak di AmBank.

Beliau memberitahu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Budiman Lutfi Mohamed semasa pemeriksaan utama bahawa Jho Low juga bertanya adakah kemungkinan Pengarah Urusan Ambank Cheah Tek Kuang secara peribadi menemui Najib untuk memudahkan pembukaan akaun.


9.27 pagi: Saksi ke-54 yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping mengambil tempat bagi memberi keterangan dalam pemeriksaan utama.

Difahamkan pendengaran permohonan pihak pendakwaan agar Najib memohon maaf berkaitan hantaran Facebook mengenai perbelanjaan kad kredit sebanyak RM3.36 juta akan dilakukan lewat hari ini.


9.26 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memasuki mahkamah.


9 pagi:  Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.

Juga kelihatan Peguam Negara Tommy Thomas dan barisan pihak pendakwaan, serta pasukan peguam bela bekas perdana menteri itu.


Apakah Najib Razak perlu membuat permohonan maaf secara penuh dan tanpa syarat ke atas hantaran Facebooknya mengenai RM3.36 juta perbelanjaan kad kredit yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu?

Ini adalah isu yang akan dibahaskan pihak pendakwaan dan pembelaan pada hari ke-41 perbicaraan terhadap bekas perdana menteri atas dakwaan salahguna dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

Perbicaraan akan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pagi ini.

Pada 18 Julai, Nazlan memberi amaran kepada Najib untuk menahan diri daripada membuat hantaran di media sosial yang boleh menghina mahkamah.

Ini susulan hantaran Facebook beliau pada 16 Julai yang mempertahankan perbelanjaan untuk membeli hadiah bagi raja dari negara lain pada 2014.

Amaran hakim bertujuan mengekalkan status quo sementara menunggu pendengaran bagi pihak pendakwaan menuntut permohonan maaf daripada Najib pada jam 9 pagi ini.

Hakim sebelum ini berkata pendengaran ringkas ini tidak akan melebihi satu jam sebelum perbicaraan utama diteruskan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");