Sukan Hari Ini

Hormati Kami, Bukan Kritik – Messi

BELO HORIZONTE, Brazil: Lionel Messi menegaskan komitmennya bersama Argentina tetap utuh sekali pun Albiceleste mengharungi satu lagi kekecewaan di kejohanan utama susulan penyingkiran di separuh akhir Copa America, pagi tadi.

Messi, 32, akhirnya menonjolkan kualiti yang diharapkan ketika bertemu seteru tradisi, Brazil dalam pemburuan ke final tetapi gagal membantu pasukannya yang tewas 0-2 kepada tuan rumah menerusi jaringan Gabriel Jesus dan Roberto Firmino.

“Masa depan yang cerah sedang menanti,” kata Messi yang turut berharap peminat pasukan itu menghargai kerja keras yang ditunjukkan skuad kendalian Lionel Scaloni itu di Copa America kali ini.

“Saya berharap kami akan dihormati dan bukannya dikritik. Mereka tidak patut mengganggu pasukan ini dan membiarkan mereka meningkat.

“Kebenarannya adalah saya cukup serasi dengan pemain-pemain ini dan jika saya perlu memberikan bantuan tidak kira daripada apa segi, saya akan melakukannya. Kumpulan pemain ini menakjubkan dan sedang membangun dan jika saya boleh menyertai mereka, saya akan lakukannya.”

Kekalahan kepada Brazil menyaksikan kemarau Argentina untuk menjulang trofi di kejohanan utama selepas kali terakhir melakukannya 26 tahun lalu terus berpanjangan.

Selepas menampilkan prestasi ‘longlai’ dalam empat perlawanan awal sebelum aksi separuh akhir, pemenang lima kali anugerah Pemain Terbaik Dunia itu mulai menunjukkan kualiti seperti ditampilkan ketika bersama Barcelona di peringkat kelab.

Penjaring terbanyak dalam sejarah Argentina itu hampir meledak gol pada babak kedua tetapi cubaannya menggegar palang dengan Argentina jelas bermain lebih baik berbanding tuan rumah tetapi dinafikan oleh tuah.

Sejurus wisel penamat ditiupkan pengadil, Messi menunjukkan kematangannya apabila bergerak ke tengah padang untuk bersalaman dengan pemain pasukan lawan sebelum memberikan tabik kepada peminat Argentina.

Begitupun, Messi dan juara dunia dua kali itu berpeluang untuk menebus kehampaan berkenaan apabila Copa America berlangsung di gelanggang sendiri dan Colombia, tahun depan. – REUTERS

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");