Berita Hari Ini

Inkues Adib Mungkin Panggil Pakar Patologi Rungkai Teori Bercanggah

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini menetapkan 24 Julai depan untuk memutuskan sama ada akan memanggil seorang lagi pakar patologi atau menamatkan prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner, Rofiah Mohamad berkata keputusan akan dibuat selepas pihaknya meneliti semua keterangan, termasuk saksi ke-30 yang merupakan pakar fizik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amir Radzi Ab Ghani.

“Saksi ke-30 telahpun selesai memberi keterangan hari ini dan pada 24 Julai depan saya akan membuat keputusan sama ada perlu memberi memanggil pakar patologi lain atau menamatkan prosiding (inkues) ini,” katanya pada hari ke-41 prosiding inkues Adib hari ini.

Terdahulu, dalam prosiding inkues itu, Amir Radzi yang juga pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM berkata, jika Adib berada dalam kedudukan statik, risiko kecederaan dihadapinya adalah tinggi.

Beliau berkata, keadaan sebaliknya akan berlaku apabila Adib dalam keadaan bergerak.

“Saya bayangkan kalau Adib berdiri tanpa bergerak pun, pergerakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) akan menghasilkan daya,” katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali kes, Asyraf Ashy’ari Kamaruzzaman.

Sebelum ini, saksi ke-24 yang juga pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi mendakwa Adib keluar sendiri daripada van EMRS sebelum terlanggar pintu kenderaan itu lalu terhentak di permukaan kasar, luas dan menonjol.

Saksi ke-29 yang merupakan perunding kanan patologi forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dilaporkan berkata, Adib ditarik keluar dari van EMRS dan dihentak menggunakan pintu van oleh beberapa individu sehingga mendapat kecederaan parah di dada kanannya.

Sementara itu, Rofiah berkata, beliau juga akan menentukan pada Rabu depan sama ada akan membenarkan permohonan bapa Adib untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung punca kematian anaknya lapor FMT.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat memulakan prosiding itu hari ini kerana pemohonan yang difailkan peguam keluarga Adib, Kamaruzaman A Wahab masih dalam proses.

“Saya belum lagi meneliti permohonan itu dan saya tetapkan 24 Julai depan untuk sebutan.”

Semalam, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Thomas membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu.

Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");