Berita Hari Ini

Insiden Kedua Pencemaran Minyak Di Sungai Selangor Disyaki Sabotaj

KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan pencemaran minyak di Sungai Selangor sehingga menyebabkan penutupan empat loji rawatan air (LRA) semalam, akibat perbuatan sabotaj.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ini kerana insiden itu berlaku di lokasi kerja pengorekan pasir oleh kontraktor berlesen yang tidak lagi beroperasi sejak dua bulan lepas.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati saluran tangki pontun yang mengandungi minyak di lokasi tersebut telah terbuka menyebabkan bahan berkenaan mengalir ke dalam sungai tersebut dan menyebabkan bau kepada air mentah.

“Daripada pemantauan awal, saluran tangki itu tidak mungkin terbuka akibat angin atau hujan. Ia disebabkan ada orang menariknya untuk mengeluarkan minyak berkenaan.

“Saya tidak menolak ia perbuatan sabotaj, kecuaian atau tindakan kurang wajar oleh sesetengah pihak. Satu laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini, lapor Bernama.

Mengulas mengenai kontraktor berlesen itu, beliau berkata hasil semakan mendapati ia telah menjalankan kegiatan pengorekan pasir sejak 2013.

“Pontun milik kontraktor itu mungkin tidak digunakan selepas pasir tiada atau telah sampai had pengorekan dan penyedutan pasir di kawasan tersebut,” katanya.

Justeru itu, Amirudin mengarahkan syarikat yang menjalankan kerja pengorekan dan penyedutan pasir di sekitar Sungai Selangor supaya membawa keluar pontun yang tidak lagi beroperasi bagi mengelak kejadian sama berulang.

Mengulas lanjut mengenai insiden pencemaran minyak di Sungai Selangor semalam, beliau berkata ia adalah kejadian kedua dan dikesan kira-kira enam kilometer dari LRA Sungai Selangor Fasa 2 di sini pada pukul 6 petang.

Katanya pencemaran itu menyebabkan empat LRA yang hampir pulih sepenuhnya susulan dihenti operasi akibat kejadian sama pada Jumaat lepas di Batang Kali, Hulu Selangor dihenti tugas sekali lagi semalam.

“Bagaimanapun, kita menjangkakan agihan bekalan air kepada pengguna terjejas boleh dilakukan pada pukul 6 pagi esok selepas kolam takungan penuh.

“Tempoh masa berapa lama diambil untuk semua kawasan terjejas menerima semula bekalan air, kita tak dapat beri jangkaan kerana bergantung kepada masa kolam takungan dapat dipenuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin meminta orang ramai supaya tidak meletakkan kesalahan gangguan bekalan air di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) semata-mata apabila berlaku kejadian seumpama itu.

“Ramai menyalahkan Air Selangor secara keseluruhan. Air Selangor memproses air dan mengagihkan manakala pemantauan air sungai dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Setiap air yang masuk di muka sauk mempunyai sistem pengesanan (bagi mengesan segala pencemaran). Kalau tiada pengesanan di peringkat awal, sudah lama air tercemar masuk kawasan perumahan dan kita terpaksa cuci loji kita,” katanya.

Semalam, Air Selangor memaklumkan bahawa pencemaran minyak diesel dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang daripada sumber air mentah Sungai Selangor.

Susulan itu, LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada pukul 6 petang disusuli LRA SSP3 pada pukul 8 malam serta LRA SSP1 dan LRA SSP2 pada 8.15 malam semalam bagaimanapun, kesemua LRA terlibat beroperasi semula pada pukul 3.30 pagi tadi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");