ALOR SETAR: Jangkaan penyokong Kedah terhadap suasana sesak akan berlaku di kaunter jualan tiket perlawanan akhir Piala FA antara Perak dan Kedah di Stadium Darul Aman pagi tadi nyata meleset.
Tinjauan BH Sukan mendapati kaunter tiket hanya dipenuhi peminat dalam tempoh 15 minit pertama dan selepas itu kembali lengang menyebabkan ramai pembeli seakan tidak percaya.
Menurut seorang penyokong, Mohd Nazirul Hafiz Azizan, 36, beliau pada mulanya gusar memikirkan suasana sesak di kaunter tiket yang mungkin terpaksa dihadapi demi untuk menyaksikan final pada musim ini.
“Sanggup datang sehari lebih awal untuk mendapatkan tiket ke final seperti saya lakukan pada tahun-tahun sebelum ini dan saya bertolak dari Taiping semalam dan menyewa hotel di sini untuk mendapatkan tiket pada awal pagi.
“Tapi saya terkejut bila tiba di kaunter hari ini, saya cuma ambik masa seminit dan tak kalut. Perbezaan suasana sungguh berbeza,” katanya.
Bagi penyokong wanita, Nur Afzan Alyas, 28, hasrat membeli tiket untuk dirinya dan anak tercapai apabila tidak perlu menunggu lama di kaunter.
“Hari ni hari kerja, nampak suasana jualan perlahan, mungkin pembeli datang secara berperingkat seperti waktu rehat nanti. Tahun lalu tiket dijual pada masa cuti dan ramai yang datang,” katanya.